Pak Lah, ‘Mr Nice Guy’ yang reformis

Pak Lah, ‘Mr Nice Guy’ yang reformis

Enam tahun sebagai perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi laksana pelbagai reformasi penting meskipun berdepan kritikan hebat.

Abdullah Ahmad Badawi berkhidmat sebagai penjawat awam selama sedekad sebelum menang kerusi Parlimen Kepala Batas pada 1978, dan seterusnya menjadi perdana menteri kelima dari 2003 hingga 2009.
PETALING JAYA:
Digelar bapa pembangunan modal insan Malaysia, tempoh enam tahun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri kelima negara sering dianggap terlalu singkat.

Lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, nama panggilan yang membuatkan beliau dilihat senang didekati dan rendah diri, Abdullah juga terkenal dengan imej ‘Mr Nice Guy’ walaupun memiliki pengalaman politik yang luas.

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada 26 Nov 1939, Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam sebelum memperoleh ijazah sarjana muda dalam pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada 1964.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai penjawat awam selama lebih sedekad sebelum menceburi dunia politik, memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas pada PRU 1978 – kawasan di mana bapanya aktif sebagai pemimpin Umno bahagian.

Abdullah terus mewakili kawasan itu selama lebih 30 tahun.

Lembut tutur kata namun mempunyai azam yang kuat, Abdullah mengambil alih jawatan perdana menteri pada 2003 selepas Dr Mahathir Mohamad menamatkan era pemerintahannya selama 22 tahun, dan mencetuskan perubahan ketara dalam dasar berbanding zaman Mahathir.

Beliau memperkenalkan Pelan Integriti Nasional pada 2004 dengan matlamat membentuk masyarakat yang beretika dan berintegriti.

Beliau juga berusaha membanteras ‘Napoleon kecil’ dalam perkhidmatan awam, memerangi rasuah, serta menganjurkan prinsip Islam Hadhari, pendekatan yang menggalakkan umat Islam bersikap ‘progresif, moden dan sederhana’.

Langkah pembaharuan

Bawah kepimpinan Abdullah, media cetak dan dalam talian lebih bebas melaporkan dasar kerajaan dan isu sosial, manakala media bebas dalam talian, yang kadangkala mengkritik dasar kerajaan, berkembang dengan pesat.

Perubahan ini disambut baik, berbeza daripada era Mahathir yang terkenal dengan kawalan ketat ke atas media dan sekatan kebebasan bersuara, khususnya selepas Operasi Lalang 1987, apabila empat akhbar digantung dan lebih 110 pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil menjadi tahanan politik.

Ahli ekonomi terkemuka Edmund Terence Gomez memuji Abdullah kerana membawa perubahan besar dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan mengehadkan jumlah wakil rakyat yang dilantik sebagai pengarah dalam GLC senaraian awam.

Ketika itu, Idris Jala dilantik sebagai CEO Malaysia Airlines dan kemudiannya dikenali sebagai ‘pakar pemulihan’, manakala Azman Mokhtar diberi amanah menerajui Khazanah Nasional Bhd.

“Abdullah banyak melakukan perkara yang baik dari segi pembaharuan untuk memastikan GLC ditadbir secara profesional,” kata Gomez.

Memerangi rasuah

Abdullah turut dikenang atas usahanya memperkasa kesamarataan jantina, termasuk memberi wanita hak milik harta yang sama rata, serta meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melarang diskriminasi berasaskan jantina.

Beberapa bulan sebelum beliau berundur, Abdullah memantau proses penjenamaan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari 2009.

SPRM diberi kuasa lebih luas dan menjadi suruhanjaya bebas.

Abdullah juga berusaha menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC), namun ekoran bantahan yang kuat, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), yang lebih lemah, sebaliknya ditubuhkan.

Tempoh pentadbiran Abdullah turut menyaksikan tumpuan baharu pada sektor pendidikan, antaranya menerusi pemberian buku teks percuma kepada semua murid bermula 2008.

Beliau turut menjayakan pembangunan lima koridor ekonomi yang bertujuan merangsang pembangunan di Semenanjung dan Malaysia Timur.

Wilayah pembangunan Iskandar Malaysia, yang dilancarkan bawah pentadbirannya, fokus mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi tanpa mengabaikan asas pertanian negara.

Dikhianati Dr M

Walaupun dengan segala pencapaian itu, penentang Abdullah paling lantang ialah Mahathir, yang secara terbuka mengkritik pengganti yang dipilihnya sendiri.

Pada 2013, Abdullah dilaporkan berkata, ‘masalah utamanya’ adalah Mahathir tidak mampu menerima sebarang wawasan negara selain apa yang dirancangnya sebelum berundur.

“Mahathir kekal dengan caranya. Dan beliau percaya cara itu sahaja yang betul. Apabila saya cuba lakukan sesuatu yang berbeza, beliau anggap saya salah … tetapi itulah Mahathir,” katanya.

Ketegangan memuncak selepas PRU 2008 apabila Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi paling buruk sejak 1969, buat pertama kalinya kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Mahathir mendakwa Abdullah lemah, menuduh salah laku yang menurutnya menyebabkan kehilangan besar sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat.

Akibat tekanan terus meningkat dalam partinya sendiri, Abdullah akhirnya melepaskan jawatan perdana menteri pada 1 April 2009, menyerahkan tampuk kepimpinan parti dan kerajaan kepada Najib Razak.

Akhir hayat

Sebagai seseorang yang kuat berpegang pada ajaran agama, Abdullah sepanjang hayatnya berusaha menambah baik tanggapan dunia terhadap Islam, menganjurkan pendekatan progresif dan bertoleransi menerusi Islam Hadhari.

Selepas bersara, Abdullah komited memupuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap Islam, terutama di dunia Barat.

Pada tahun-tahun akhir hayatnya, Abdullah semakin menjauh daripada khalayak umum, memilih untuk meluangkan masa bersama keluarga dan menghasilkan karya penulisan. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemuisi, dengan bukunya ‘I Seek Eternal Peace’ diterjemahkan kepada lebih 80 bahasa.

Pada September 2022, menantunya, Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa Abdullah menghidap demensia dan keadaan kesihatannya semakin merosot, tidak lagi dapat mengingati nama isteri dan ahli keluarga terdekat.

Abdullah menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia 85 tahun. Beliau meninggalkan isteri, Jeanne Abdullah, serta dua anak, Nori dan Kamaluddin, hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Endon Mahmood yang meninggal dunia pada 2005. Beliau juga mempunyai dua anak tiri, Nadiah Kimie dan Nadene Kimie, daripada perkahwinan terdahulu Jeanne.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.