Pak Lah komited pada kebebasan badan kehakiman, kata peguam kanan

Pak Lah komited pada kebebasan badan kehakiman, kata peguam kanan

Roger Tan puji peranan bekas perdana menteri itu dalam meluluskan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Peguam kanan Roger Tan berkata, tindakan Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan usaha Majlis Peguam dalam ‘menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan legasi yang berpanjangan menerusi komitmennya terhadap kebebasan badan kehakiman, kata peguam kanan Roger Tan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Tan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Abdullah atas pemergian beliau.

“Pak Lah sememangnya seorang ‘gentleman’ sebenar dalam dunia politik, malah ‘gentleman’ yang terlalu baik untuk berada dalam politik,” katanya.

“Tidak seperti kebanyakan ahli politik lain, beliau bukan pendendam mahupun kejam. Malah, dalam banyak keadaan, beliau terlalu baik hati.”

Bekas ahli Majlis Peguam itu juga memuji Abdullah atas iltizam politiknya meluluskan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009, menunjukkan komitmennya terhadap kebebasan institusi kehakiman.

“Beliau juga menyokong Majlis Peguam Malaysia ketika kontroversi pita video VK Lingam, dengan menghadiri Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 dan menganjurkan majlis makan malam untuk perwakilan pada 29 Okt 2007.

“Beliau berbuat demikian walaupun ketua hakim negara ketika itu mengarahkan badan kehakiman untuk tidak menghadiri persidangan itu, yang mana saya ketika itu pengerusi penganjur,” katanya.

Pada September 2007, peguam berarak ke Pejabat Perdana Menteri bagi membantah dakwaan rasuah dalam badan kehakiman, susulan pendedahan pita video yang mengaitkan ketua hakim negara ketika itu, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, dalam skandal mengatur pelantikan hakim.

Susulan itu, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dan mengemukakan syor.

Ini akhirnya membawa kepada penubuhan JAC bagi mencadangkan kepada perdana menteri calon-calon untuk pelantikan dan kenaikan pangkat ke mahkamah atasan.

Tan berkata, tindakan Abdullah itu mengesahkan usaha Majlis Peguam dalam ‘menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih’, sambil menyatakan bahawa tiada peguam ditahan semasa perarakan itu.

“Selain itu, pada 17 April 2008, beliau turut menganjurkan majlis makan malam perdamaian untuk para hakim yang dipecat ekoran krisis kehakiman 1988,” katanya.

Terdahulu, menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin memaklumkan di media sosial bahawa perdana menteri kelima itu meninggal dunia pada 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.