Malaysia terhutang budi pada Pak Lah, kata Anwar

Malaysia terhutang budi pada Pak Lah, kata Anwar

Abdullah Ahmad Badawi terap naratif baharu dalam politik Malaysia, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Abdullah Ahmad Badawi membuka ruang media dan penyertaan awam. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah atas pemergian bekas perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.

Anwar berkata, Malaysia terhutang budi atas jasa Abdullah, seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik Malaysia.

Beliau menyenaraikan beberapa inisiatif penting yang diusahakan Abdullah, termasuk memperkenalkan ‘Islam Hadhari’.

“Beliau adalah susuk memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia ke-9 yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya.

Abdullah, yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, digambarkan sebagai seseorang yang bukan pemarah, dan tidak akan meninggikan suara meskipun diasak.

Anwar juga berkata, Abdullah tidak pernah menguris perasaannya dengan kata-kata nista.

“Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” katanya dalam kenyataan.

Anwar turut mengimbau pertemuan terakhirnya dengan Abdullah, yang ketika itu sedang uzur.

“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” katanya.

Abdullah memikul amanah perdana menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009.

Pentadbiran beliau menyaksikan pembentukan koridor ekonomi untuk memanfaatkan sumber dan kekuatan pelbagai wilayah dalam negara, di samping membangunkan wilayah yang ketinggalan.

Iskandar Malaysia merupakan koridor ekonomi pertama yang dilancarkan, diikuti Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Pembangunan Sabah, dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak.

Sementara itu, menurut Facebook milik perdana menteri keenam, Najib Razak, Abdullah seorang kawan, mentor dan pemimpin yang dihormati.

“Pak Lah amat rapat dengan kami sekeluarga,” menurut catatan di akaun itu.

Catatan itu menyebut semangat dan prinsip Abdullah yang mendorong kepada terlahirnya prinsip rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan dalam gagasan 1Malaysia diperkenalkan oleh Najib ketika pentadbirannya.

“Pak Lah akan sentiasa dikenang dengan sumbangannya kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.