
Hakim Ahmad Shahrir Salleh menganugerahkan RM200,000 bagi ganti rugi kerosakan reputasi, RM100,000 akibat kehilangan peluang, RM20,000 kerana tekanan mental dan kecederaan maruah, dan RM20,000 ganti rugi teruk.
“Jumlah keseluruhan mewakili pampasan adalah adil, munasabah, dan berkadaran bagi pelanggaran dilakukan,” katanya ketika menyampaikan penghakiman susukan penilaian ganti rugi.
Namun, hakim tidak memerintahkan kos mengambil kira isu itu berkepentingan awam.
Dalam penghujahan pada perbicaraan untuk menentukan kuantum ganti rugi yang perlu dibayar, awal tahun ini, Shafee berkata tindakan Badan Peguam telah merosakkan reputasi dan mata pencariannya.
Beliau berkata pencabulan kewajipan berkanun Badan Peguam telah menimbulkan litigasi yang menyebabkan beliau kehilangan beberapa peluang untuk mengambil kes lain. Shafee meminta ganti rugi RM2 juta daripada Badan Peguam.
Bagaimanapun, Andrew Chiew, yang mewakili Badan Peguam, memberitahu mahkamah bahawa Shafee telah mengambil banyak kes berprofil tinggi sejak itu. Beliau berkata tiada bukti untuk membuktikan bahawa reputasi peguam terkemuka itu terjejas, seperti yang didakwa.
Pada Februari 2015, Shafee bercakap pada satu ‘jelajah’ untuk membincangkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Liwat II Anwar Ibrahim yang menyaksikan presiden PKR itu disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.
Anwar kemudiannya menerima pengampunan penuh diraja atas alasan bahawa sabitan kesalahannya adalah satu pelanggaran prinsip keadilan.
Sejurus selepas itu, peguam Tommy Thomas dan VC George membentangkan usul untuk dibahaskan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam.
Dalam usul mereka, Thomas dan George mendakwa Shafee telah melanggar peraturan yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri mereka sendiri dan meminta agar Badan Peguam mengecam kelakuannya dengan tegas.
Mereka juga meminta Badan Peguam merujuk perkara itu kepada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara.
Saman Shafee pada mulanya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2016. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2018.
Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Sabah dan Sarawak sekarang, membenarkan rayuan Shafee pada 2021 dan memerintahkan Mahkamah Tinggi menjalankan penilaian ganti rugi.
Mahkamah tertinggi berkata Thomas dan George salah untuk membincangkan kelakuan Shafee pada AGM. Ia berkata Badan Peguam tidak mempunyai kuasa untuk membincangkan tingkah laku peguam pada AGM kerana perkara sedemikian terletak di bawah bidang kuasa lembaga tatatertib.
Thomas kemudiannya menjadi peguam negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020. George bersara selepas menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan kemudiannya Mahkamah Rayuan antara 1981 dan 1995.