
“Beliau kata ada campur tangan politik. Jika ya, bila? Tunjuk bukti pada kita,” katanya dalam wawancara dengan FMT.
Tengku Maimun dijangka bersara wajib pada usia 66 tahun pada 30 Jun, melainkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melanjutkan lantikannya kepada enam bulan, sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.
Dalam ucap tama pada 8 April pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta, Tengku Maimun menyeru perdana menteri tidak lagi memainkan peranan dalam pelantikan kehakiman.
Katanya, ia akan mengukuhkan kesaksamaan proses dan memastikan pelantikan adalah berdasarkan merit dan bebas pengaruh politik.
Namun, Nazri mempertahankan sistem sedia ada, sambil menyatakan ia berasaskan konvensyen undang-undang British sejak sekian lama, di mana ia diserasikan dalam Perlembagaan Persekutuan semasa kemerdekaan dengan input pakar undang-undang.
“Kita ikut konvensyen ikut sistem United Kingdom, yang mana pelantikan hakim dibuat Agong, berdasarkan nasihat perdana menteri. Ini telah diamalkan sejak berdekad,” katanya.
Pada 2009, sistem tersebut terus diperkukuh menerusi pembentukan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bertujuan menggalkkan ketelusan dalam proses lantikan.
“Tengku Maimun dilantik guna sistem sama. Beliau menerimanya tanpa sebarang isu. Jadi, kenapa sekarang beliau kata ini tidak okey bila sudah dekat mahu bersara?”
Kehakiman di Malaysia menjadi tumpuan sejak tercetusnya krisis Perlembagaan pada 1998, menyaksikan ketua hakim negara ketika itu, Salleh Abas dipecat ketika kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir Mohamad memerintah.
Tengku Maimun dilantik mengetuai kehakiman pada 2019 selepas Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua, kali ini mengetuai kerajaan Pakatan Harapan.
Nazri, yang baru menamatkan khidmatnya sebagai duta besar ke Amerika Syarikat, berkata proses lantikan lebih buruk pada era pertama Mahathir berkuasa, bermula 1981 hingga 2003.
“Beliau kena ingat namanya diberikan (kepada Agong) oleh Mahathir,” katanya.
Nazri berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjadi ketua pembangkang, menyokong pembentukan suruhanjaya tersebut.
Pada waktu itu, Anwar berkata, sistem diperkenalkan adalah terbaik kerana menggabungkan hakim bersidang dan individu terkemuka lain, termasuk hakim bersara dan ahli Majlis Peguam.
“Ia melibatkan ramai pemegang taruh yang boleh mencadangkan sesiapa sahaja yang difikirkan layak. Saya menyokongnya kerana saya percaya dengannya,” kata Nazri.
Katanya, mengikut Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, senarai calon bagi kedudukan empat tertinggi dalam kehakiman dan semua kekosongan jawatan di mahkamah atasan, akan dihantar kepada perdana menteri untuk pertimbangan.
Namun, undang-undang tidak menetapkan perdana menteri mesti menerima setiap nama dicadang, katanya.
“Suruhanjaya memberikan syor, tetapi keputusan muktamad terletak kepada perkenan Agong, atas nasihat perdana menteri,” kata Nazri yang bertanggungjawab membentangkan rang undang-undang suruhanjaya berkenaan untuk kelulusan Parlimen bagi penguatkuasaan.
“Perdana menteri dilantik oleh rakyat. Beliau mesti diberikan ruang menentukan nama (calon bagi lantikan). Tidak seperti ketua hakim negara yang tidak mewakili rakyat, perdana menteri mempunyai mandat rakyat.”
Anwar tak pernah campur tangan
Nazri berkata, Anwar tidak pernah campur tangan dalam sebarang kes berlangsung di mahkamah.
Beliau menyebut kes tanah Semantan yang mana menyaksikan Mahkamah Tinggi mengeluarkan keputusan tidak memihak Putrajaya tahun lalu, sebagai bukti jelas tiada campur tangan kerajaan dalam pentadbiran keadilan.
Kes berkenaan melibatkan pertikaian berpanjangan antara Semantan Estate Sdn Bhd dengan kerajaan melibatkan tanah berkeluasan lebih 106 hektar, di Mukim Batu yang dikenali sebagai ‘Duta enclave’.
Semantan Estate mendakwa tanah berkenaan diambil kerajaan persekutuan pada 1956 di bawah nilai sebenar.
Pada 7 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memindahkan tanah itu, yang dikatakan bernilai RM12 bilion ketika ini, kembali kepada Semantan Estate susulan pengambilalihan tidak sah.
Kes tersebut kini di peringkat Mahkamah Rayuan, yang akan menyampaikan keputusan ke atas rayuan kerajaan pada 24 Jun ini.
“Perdana menteri boleh memanggil kehakiman dan kata jangan kasar kepada kerajaan. Jika ada campur tangan, kenapa hakim buat keputusan tidak memihak kerajaan?”
Nazri juga menyentuh kes jenayah dibawa ke atas bekas perdana menteri, Najib Razak. Katanya, Anwar tidak pernah campur tangan menghalang sabitan Najib atau pemenjaraan, walaupun ada hubungan politik bekas perdana menteri itu.
“Jika Anwar campur tangan, Najib tidak akan ke penjara. Mahkamah menjatuhi hukuman. Lembaga pengampunan menyemak kesnya. Di mana campurn tangan?”
Jangan serang PM berdasarkan persepsi
Nazri terkejut dengan komen Tengku Maimun, lebih-lebih lagi dibuat dalam persidangan antarabangsa di luar negara, sedangkan beliau masih berkhidmat.
“Beliau masih lagi ketua hakim negara. Beliau tidak boleh buat kenyataan politik, terutama di luar negara. Beliau sepatutnya tunggu dulu sebelum bersara jika beliau mahu bercakap,” katanya.
Nazri menyeru pihak berkuasa menyiasat kenyataan Tengku Maimun bagi melihat sama ada ia tidak berasas.
“Anda tidak boleh menyerang perdana menteri atas dasar persepsi. Anda mesti ada fakta. Itulah peranan hakim – memutuskan berdasarkan keterangan. Saya terkejut dengan kenyataannya kerana beliau menunjukkan prestasi baik menegakkan keadilan,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan detik masa Tengku Maimun membuat kenyataan itu, sambil mencadangkan mungkin ia terkait dengan persaraannya tidak lama lagi. Mungkin itu sebabnya beliau tidak gembira.”
Nazri mengingatkan Tengku Maimun bahawa beliau bertanggungjawab menjunjung pengasingan kuasa antara kehakiman dan eksekutif.
“Bila anda adalah ketua hakim negara, tanggungjawab anda adalah mentafsirkan undang-undang, bukan dasar. Jangan terlibat dalam politik.”