
Dalam serbuan pada 15 Mac lalu, ganja seberat 210kg dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di rantau ini dengan menjadikan Malaysia lokasi transit.
Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Ahmad Taufik Sulaiman, berkata rampasan itu adalah terbesar setakat tahun ini di KLIA.
“Dadah ini disorok dalam bungkusan produk makanan ringan serta makanan haiwan seperti anjing dan kucing, bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kargo Unit III, Zon Tengah, Sepang, menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, barangan itu diikrar sebagai makanan haiwan, makanan ringan, pakaian lusuh, dan kasut terpakai, namun siasatan mendapati hanya sebahagian diisytiharkan dengan betul.
“Modus operandi menyembunyikan dadah dalam bungkusan makanan haiwan pernah dikesan sebelum ini, namun kali ini melibatkan jumlah yang sangat besar.”
Katannya, nilai pasaran bunga ganja lebih mahal, kira-kira RM98,000 bagi setiap 1kg, berbanding ganja biasa dianggarkan RM3,200/kg.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Kastam turut menyeru orang ramai bekerjasama memerangi aktiviti penyeludupan khususnya melibatkan dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan, dan barangan larangan lain.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau ke pejabat kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat dijamin rahsia,” kata Taufik.