
Menurut hantaran di Facebook Chow, wakil rakyat DAP itu ditahan bersama Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka) Wilson Chang.
Difahamkan, kedua-dua mereka hadir ke IPD Raub pada 4 petang tadi bersama peguam masing-masing selepas dipanggil untuk memberi keterangan atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.
“Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui dan Pengerusi Samka Wilson Chang disahkan peguam ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan: ‘Menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya’.
“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan mengemaskinikan maklumat terkini melalui Facebook dan media secepat mungkin,” kata hantaran itu.
Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.
Kerajaan Pahang juga nafi melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, pada 8 April.
Semalam, polis memaklumkan menerima tiga laporan oleh pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), polis dan NGO.
Ketua Polis Raub Mohd Shahril Abd Rahman memaklumkan operasi penguatkuasaan di kebun durian akan diteruskan seperti biasa oleh pihak berkuasa.