Tak tanding jawatan naib presiden demi kukuh MPP, kata Fahmi

Tak tanding jawatan naib presiden demi kukuh MPP, kata Fahmi

Ketua penerangan PKR itu membatalkan hasrat bertanding jawatan naib presiden.

FAHMI FADZIL VISIT NADI AYER KUNING
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (kanan) melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional Ayer Kuning hari ini sempena Hari Bersama Komuniti.
TAPAH:
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil membatalkan hasrat merebut jawatan naib presiden, sebaliknya hanya akan bertanding kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti bulan depan.

Menurutnya, beliau berbuat demikian untuk membantu memperkukuhkan parti menjelang PRU16.

“Kita perlu lebih kuat dari sekarang kerana kita lihat cabarannya besar…Saya tawar diri bantu perkemas gerak kerja parti di peringkat MPP, tiba masanya nanti saya akan turun berkempen,” katanya selepas menghadiri Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Ayer Kuning.

Pada 16 Mac lalu, Fahmi mengumumkan hasrat bertanding jawatan naib presiden PKR demi menabur bakti kepada parti.

Jangan umum projek kerajaan sepanjang kempen PRK

Fahmi yang juga menteri komunikasi mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak mengumumkan sebarang projek kerajaan sepanjang kempen PRK Ayer Kuning.

“Semua pihak perlu patuh, kita perlu pertandingan adil. Bagi saya, yang penting elak perkara seperti itu berlaku. Saya tak ada apa-apa pengumuman tentang peruntukan.”

Khamis lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM6.13 juta untuk melaksanakan 33 projek merangkumi kerja menaik taraf tandas awam, medan selera, dewan serta pemasangan lampu LED di Tapah tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengulangi amaran supaya semua pihak berkempen untuk PRK Ayer Kuning tidak memainkan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

“Kita sedang membuat pemantauan aktif, sekiranya ada mana-mana pihak didapati bermain isu 3R, maka tindakan tegas akan diambil dan mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.