
Beliau berkata, pendekatan sama telah diambil Yang di-Pertua Negeri Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menyandang jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) sebagai usaha meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan Perkara 160 itu dilaksanakan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Tuntutan kerusi Parlimen agak kompleks dan mencabar kerana bukan sahaja memerlukan rundingan pada peringkat kementerian dan agensi, malah lebih penting lagi dari sudut politiknya, iaitu berunding dengan setiap Ahli Parlimen untuk mendapat sokongan serta memberi penjelasan mengapa ini perlu dipinda.
“Sekarang Ahli Parlimen Semenanjung (memegang) 75% daripada 222 kerusi, maknanya kalau nak pinda Perlembagaan di Dewan Rakyat, tidak perlu rujuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak kerana mereka sahaja sudah lebih dua pertiga kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam segmen Bual Bicara Eksekutif sempena Program Jiwa Komuniti Madani dan Media di Dewan Haji Kamaruddin bin Ahmad, Kampung Segedup hari ini.
Fadillah berkata, sekiranya tiada kesepakatan tercapai dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikannya, ia akan diputuskan di peringkat jawatankuasa melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Pada November 2024, Fadillah dilaporkan berkata, pelaksanaan pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanya akan dimuktamadkan selepas PRU16.
Kali terakhir berlaku persempadanan semula melibatkan kerusi Parlimen adalah pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 ahli, iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25% daripada 222 kerusi.