
Ini kerana lawatan berlangsung 15 hingga 17 April itu berlaku di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perang perdagangan yang semakin memuncak antara negara kuasa besar tersebut.
Perunding kanan di Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata China mungkin menekan untuk pelaburan semula dalam infrastruktur, kesalinghubungan digital, logistik dan tenaga hijau di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) semasa lawatan Xi.
“Lawatan ini juga mungkin menandakan peluasan taman perindustrian atau projek mega disokong China di Malaysia,” katanya kepada FMT.
Samirul berkata Beijing mungkin mahu bekerjasama dalam sektor elektrik dan elektronik negara yang berkembang pesat bagi mengelakkan sekatan teknologi AS, terutamanya dalam bidang semikonduktor, di mana Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global.
“Mereka juga mungkin mengukuhkan kuasa melalui diplomasi budaya, biasiswa dan pelancongan,” katanya.
Lawatan Xi itu berlaku ketika perang perdagangan antara AS dan China semakin memuncak.
Pentadbiran Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 145% ke atas import dari China atas alasan amalan perdagangan tidak adil, manakala China membalas dengan cukai sebanyak 125%, sekali gus meningkatkan ketegangan ekonomi global.
Malaysia yang menjadi rakan dagang utama AS dan China telah dikenakan tarif balas sebanyak 24% oleh Washington, tetapi kini ditangguhkan selama tiga bulan.
Bagi Malaysia, lawatan Xi mungkin membawa kepada perkembangan perdagangan, peningkatan pelaburan langsung asing dan akses yang lebih besar ke pasaran pengguna China.
“Pembiayaan bersama untuk projek infrastruktur utama dan tenaga bersih juga mungkin menjadi agenda,” kata Samirul.
Profesor ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata Malaysia berkemungkinan akan meneruskan integrasi perdagangan serantau yang lebih meluas dengan China sebagai sebahagian daripada matlamat umum untuk mempelbagaikan hubungan perdagangan.
“Ini selaras hasrat kita untuk memperluaskan hubungan dagangan dengan semua negara, termasuk China yang merupakan pemain global utama,” katanya.
Risiko dan garis amaran merah
Samirul turut memberi amaran tentang beberapa risiko perlu dielakkan Malaysia daripada China iaitu pertamanya kebergantungan kepada hutang diikuti isu keselamatan siber.
Katanya, sebarang projek BRI yang baharu perlu dilaksanakan secara telus sepenuhnya bagi mengelakkan risiko hutang seperti dialami negara lain.
“Penelitian terhadap pelaburan China dalam infrastruktur digital, khususnya 5G, pengkomputeran awan dan keselamatan siber juga adalah penting,” katanya.
Beliau turut menggesa Putrajaya mengelak daripada menunjukkan terlalu akrab dengan Beijing, yang boleh ditafsirkan Washington sebagai Malaysia condong kepada China sekali gus menjejaskan kerjasama perdagangan, teknologi serta pertahanan dengan AS.
Menurutnya, AS sedang memerhati dengan teliti dan lawatan berprofil tinggi atau pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) penting yang mungkin mencetuskan kebimbangan, khususnya di kalangan pegawai AS, Indo-Pasifik dan perdagangan.
Katanya, memandangkan pendirian Malaysia yang samar mengenai Huawei sebelum ini, peranannya dalam BRI dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta lebihan dagangan RM72 bilion dengan AS, sebarang petunjuk perubahan arah boleh menjejaskan kerjasama dua hala, terutamanya dalam bidang teknologi, pertahanan dan perdagangan.
“Cara Malaysia mengimbangi lawatan ini – melalui bahasa digunakan, liputan media dan tindakan susulan – akan menentukan sama ada AS melihatnya sebagai langkah berhati-hati atau condong ke arah China,” katanya sambil menambah bahawa Pusat Perintah Geoekonomi Negara (NGCC) perlu menerajui penilaian risiko dan penyelarasan komunikasi strategik sepanjang lawatan itu.
Penganalisis hal ehwal luar, Collins Chong pula berkata lawatan Xi ke Malaysia bukan sekadar soal hubungan dua hala, tetapi sebahagian daripada usaha lebih luas China memperkukuh pengaruhnya di Asia Tenggara, memperdalam hubungan dagangan menerusi RCEP dan mempromosi kerangka keselamatan serantau sendiri iaitu Inisiatif Keselamatan Global (GSI).
“Lawatan ini melambangkan pengaruh Beijing terhadap ekonomi dan keselamatan serantau,” katanya.
Chong turut memberi amaran penerimaan kerangka diketuai China secara terburu-buru – sama ada BRICS, RCEP atau GSI – boleh menyebabkan Malaysia menjadi sasaran balas dendam AS dalam bentuk tarif, sekatan teknologi dan tekanan perdagangan lebih besar.