
Timbalan Pengarah Imigresen Johor (Kawalan), Nor Faizal Rahim, berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, sekumpulan pekerja asing yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba melarikan diri sebelum merempuh pegawai terbabit hingga terjatuh.
Menurutnya, mangsa yang patah tulang keting kaki kiri dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, 148 Pati terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, China, Pakistan, Nepal dan India ditahan dalam dua serbuan berasingan di lot pembinaan Taman Johor Jaya serta Eco Galleria.
“Tangkapan turut membabitkan wanita dan kanak-kanak tidak mempunyai dokumen sah,” katanya menurut Berita Harian.
“Kebanyakan mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kerja sah atau surat lantikan daripada majikan selepas pemeriksaan menggunakan sistem imbasan kod QR. Ada juga yang tidak dapat menunjukkan pasport dan permit kerja kerana mendakwa dokumen itu disimpan majikan.”
Semua warga asing itu disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki pas atau permit sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
Operasi bersepadu itu disertai 120 anggota penguat kuasa, termasuk dari Bahagian Operasi Bangunan Sultan Iskandar serta Angkatan Pertahanan Awam.