Konsesi Menara KL: Pekerja tersepit, MKLSB digesa ketepi ‘agenda’

Konsesi Menara KL: Pekerja tersepit, MKLSB digesa ketepi ‘agenda’

Seorang pekerja Menara KL berkata, kedegilan MKLSB enggan beri laluan kepada pemegang konsesi baharu 'menyusahkan semua'.

kl tower
Mahkamah Tinggi KL pada 8 April menolak permohonan MKLSB dan Hydroshoppe untuk mendapatkan injunksi ad interim bagi menghentikan pemberian kontrak pengurusan Menara KL kepada LSH Service Master. (Gambar Envanto Elements)
PETALING JAYA:
Pekerja Menara Kuala Lumpur menggesa Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) mengetepikan ‘agenda’ agar tidak menyusahkan mereka apabila enggan memberi laluan kepada operator baharu mengambil alih pengurusan menara itu.

Seorang pekerja yang enggan dikenali memberitahu FMT, setelah ditamatkan perkhidmatan dengan MKLSB Januari lepas, beliau diserap oleh LSH Capital, sebagaimana pekerja lain setelah syarikat itu memperoleh konsesi baharu berkuat kuasa 1 April.

Bagaimanapun, katanya, 90% bekas pekerja MKLSB yang diserap oleh LSH Capital kini tidak dapat menjalankan tugas kerana syarikat itu enggan menyerahkan operasi Menara KL kepada pemegang konsesi baharu.

“Agenda … (kita) tahu semua ada agenda, tetapi pekerja tersepit di tengah-tengah,” katanya.

“Memang dalam syarat (perjanjian) LSH kena ambil semua pekerja. Kita dah ‘sign’ semua … dah jadi pekerja LSH, (dan syarikat) dah janji nak bayar gaji kami.

“Masalahnya, LSH tak dapat masuk Menara KL lagi, (pekerja) tak boleh masuk kerja. (Tindakan MKLSB) memang menyusahkan kita semua.”

Dalam pada itu, MKLSB dilapor akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang turut mengundang Dr Mahathir Mohamad untuk membuka kapsul masa yang menyimpan mesej dan dokumen penting ketika beliau menjadi perdana menteri keempat.

Orang awam, termasuk bekas pekerjanya, turut diundang menghadiri majlis tersebut bagi menyaksikan detik bersejarah itu secara langsung.

Pekerja Menara KL yang bercakap dengan FMT memberitahu, mereka tidak diundang secara peribadi ke majlis itu, walaupun rata-ratanya telah berkhidmat lebih 10 tahun dengan MKLSB.

Katanya, mereka hanya mendapat undangan umum, dan beliau sendiri tidak bercadang menghadiri majlis itu.

Kementerian Komunikasi sebelum ini memaklumkan kontrak MKLSB sebagai operator Menara KL tamat pada 31 Mac lepas.

Bulan lepas, anak syarikat LSH Capital, LSH Service Master Sdn Bhd menandatangani perjanjian pajakan dengan pesuruhjaya tanah persekutuan, sejajar konsesi 20 tahun diberikan kerajaan yang meliputi pengurusan, operasi dan penyelenggaraan Menara KL serta kawasan sekitarnya.

Syarikat itu sepatutnya mengambil alih mercu tanda negara itu 1 April lepas, tetapi pertikaian tercetus selepas MKLSB dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd memulakan tuntutan mahkamah berhubung pemberian konsesi itu, atas dakwaan berlakunya pelanggaran kontrak dan salah laku.

MKLSB dan Hydroshoppe – yang enggan mengosongkan premis dan terus mengendalikan menara itu – menuntut ganti rugi RM20.13 juta serta konsesi dipindahkan kepada mereka.

LSH Capital berkata, pihaknya akan melawan tuntutan itu dan terus memenuhi kewajipannya menurut konsesi 20 tahun itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 April menolak permohonan MKLSB dan Hydroshoppe untuk mendapatkan injunksi ad interim bagi menghentikan pemberian kontrak pengurusan menara itu kepada LSH Service Master.

Mahkamah akan mendengar permohonan injunksi interim pada 9 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.