
Katanya, selain 138 mangsa kejadian itu, polis turut merakam keterangan enam wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, seorang wakil Pejabat Tanah dan Galian serta wakil polis, Petronas, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kementerian Kesihatan (KKM), pakar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan pemaju serta kontraktor.
“Sebanyak 774 laporan polis juga telah diterima berkaitan insiden ini setakat 8 pagi tadi,” katanya, lapor Bernama.
Hussein berkata, pihak Petronas Gas Berhad, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kini sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di lokasi kejadian.
“Unit Dron Pasukan Gerakan Udara polis meneruskan tinjauan udara waktu malam di lokasi ‘ground zero’ bagi membantu Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) memantau kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan bencana,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata, Op Mega Pembersihan memasuki hari kedua hari ini di kawasan Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru yang telah disahkan selamat oleh bomba dan JKR.
Katanya, 137 pegawai dan anggota polis terlibat dalam operasi pembersihan itu dengan 40 orang dalam penugasan kawalan keselamatan manakala 97 orang dalam penugasan pembersihan.
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius, mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.