
Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, PPS itu ditutup 2 petang tadi selepas 60 keluarga terakhir keluar dari PPS Masjid Putra Heights, lapor Sinar Harian.
“Hari ini kita menutup secara rasmi selepas semua mangsa telah memperoleh kediaman sementara atau tetap,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Huzunul berkata ada mangsa berpindah ke kediaman sendiri, menumpang di rumah saudara-mara, menyewa dan ada menerima bantuan disediakan kerajaan seperti penempatan inap desa dan hotel.
“Jadi, mereka kini ditempatkan di lokasi yang lebih selesa untuk keluarga masing-masing dan selepas itu akan mencari rumah sewa yang turut ditaja oleh kerajaan negeri,” katanya.
Dalam kejadian 1 April lalu, kebakaran membabitkan 500m paip gas menyebabkan 111 cedera yang kebanyakannya melecur dan mengalami masalah pernafasan.
Sebanyak 399 kenderaan rosak, dengan 235 rumah terjejas dengan 87 musnah sepenuhnya manakala 148 lagi rosak.
Kebakaran itu turut memusnahkan 225 kenderaan dan merosakkan 174 yang lain.
Ia juga menyebabkan kawah sedalam 10m terbentuk, selain merosakkan rumah serta harta-benda dalam radius 500m dari lokasi kebakaran.