Tarif timbal balas AS boleh jejas hubungan dagang Malaysia-China, kata Anwar

Tarif timbal balas AS boleh jejas hubungan dagang Malaysia-China, kata Anwar

Langkah AS kenakan tarif dan cukai import tinggi beri kesan langsung kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, kata PM.

anwar ibrahim Xi Jinping
PM Anwar Ibrahim bersama Presiden China Xi Jinping. Anwar berkata, apabila AS tetap tarif tinggi terhadap China, Malaysia sebagai negara eksport dan dagang akan turut terkesan. (Gambar Facebook)
BACHOK:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan tarif import timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa negara termasuk Malaysia boleh menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan negara dengan China.

Beliau berkata, langkah AS mengenakan tarif dan cukai import yang tinggi memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi China malah turut memberi kesan kepada Malaysia walaupun kita dikecualikan daripada pelaksanaan tarif itu untuk sementara waktu.

“Apabila tarif tinggi dikenakan kepada China, ia secara tidak langsung turut menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan kita dengan negara tersebut,” kata perdana menteri ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kelantan di Pantai Irama.

Menurutnya, sebagai sebuah negara perdagangan dan pengeksport, Malaysia amat terdedah kepada sebarang ketidaktentuan dalam dasar perdagangan global.

“Kita ini negara eksport dan dagang. Apabila AS menetapkan tarif tinggi terhadap China, sudah tentu kita juga akan terkesan,” katanya.

“Mujurlah AS menangguhkan pelaksanaan tarif tersebut terhadap beberapa negara Asean termasuk Malaysia buat sementara waktu. Namun, China tetap dikenakan tarif itu.”

Pada 2 April lepas, Presiden Donald Trump mengumumkan AS akan memperkenalkan tarif asas 10% bagi semua negara dan duti lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk 24% bagi Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.