
Pengerusi Interfaith Spiritual Fellowship, Amir Farid Isahak, berkata ramai umat Islam bergelut dengan rasa tidak percaya, didorong ketakutan terhadap usaha murtad dan perasaan tidak selamat yang berpanjangan.
“Ada juga kebimbangan sesetengah umat Islam kurang pengetahuan yang mungkin secara tidak sengaja terlibat dalam ritual keagamaan semasa mengunjungi rumah ibadat penganut lain,” katanya kepada FMT.
Amir, yang juga naib presiden Persatuan Harmoni Malaysia, mengulas kritikan segelintir pihak terhadap lawatan Adun Semenyih Nushi Mahfodz daripada PAS ke kuil Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam, 6 April lalu.
Nushi menjelaskan, kehadirannya untuk berinteraksi dengan komuniti Hindu di kawasannya tetapi tidak menyertai sebarang ritual keagamaan mereka.
Amir berkata, walaupun ramai umat Islam berminat melawat rumah ibadat agama lain sama ada untuk merapatkan hubungan, minat seni bina atau sekadar ingin tahu—wujud rasa kurang selesa terutama dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin agama.
“Mereka melihat proses pengkristianan dalam kalangan masyarakat Cina, India dan kaum pribumi bukan Melayu khususnya di Sabah dan Sarawak…mereka rasa terancam dengan perkara itu,” katanya.
Amir berkata, peraturan berkaitan memasuki rumah ibadat bukan Islam berbeza antara negeri yang diakuinya untuk menjaga keharmonian.
Namun, katanya matlamat yang sama boleh dicapai tanpa perlu meletakkan sekatan terlalu ketat terhadap umat Islam.
“Pandangan peribadi saya cara terbaik melindungi akidah umat Islam adalah dengan meningkatkan kefahaman mereka terhadap Islam dan amalannya, bukan dengan menyekat pergaulan antara agama,” katanya.
Beliau juga menggesa penganjur acara membuat persiapan lebih rapi bagi majlis antara agama dan meningkatkan pemahaman mereka bagi mengelakkan salah faham serya ketegangan tidak perlu.
Amir turut memberi contoh positif kerjasama sebuah masjid dan kuil Hindu susulan kebakaran paip gas di Putra Heights.
Kedua-dua rumah ibadat itu digunakan sebagai pusat bantuan untuk mangsa kejadian terbabit.