
Tinjauan FMT mendapati, suasana sekitar dewan mengundi sepi walaupun pengundian bermula seawal 8 pagi. Tempoh pengundian ditetapkan selama sembilan jam hingga 5 petang ini.
Keadaan tenang itu mencerminkan perubahan ketara dalam landskap pemilihan PKR yang kali pertama memperkenalkan sistem pengundian elektronik dengan elemen kecerdasan buatan (AI) kali ini.
Namun, di sebalik keselesaan sistem digital, masih ramai ahli yang memilih untuk turun padang, bukan kerana tidak mahu mencuba sistem baharu tetapi disebabkan masalah teknikal yang merumitkan.
“Saya sepatutnya undi ‘online’ melalui aplikasi ADIL, tapi masa nak buat bayaran keanggotaan tu ada gangguan. Sistem sangkut masa pengesahan eKYC dan nak bayar RM2 pun tak lepas.
“Akhirnya saya dapat panggilan suruh undi fizikal. Itu yang saya datang,” luah Khatini Mamat, 42, ahli PKR Batu Tiga sejak 10 tahun lalu.
Ketika ditanya mana lebih mudah, Khatini berkata: “Fizikal lagi mudah, bila ‘online’ ni selalu ada masalah sistem. Saya pun bukan pandai sangat bab ‘online’. Lebih baik undi cara biasa (fizikal).”
Sementara itu, Wan Azizul, 51, dari Batu Tiga yang kali pertama menyertai pemilihan parti kesal apabila tidak dapat berbuat demikian selepas namanya tiada dalam senarai pengundian fizikal hari ini.
“Masa diminta pilih, saya pilih untuk mengundi fizikal namun bila dah sampai sini petugas maklumkan nama saya tiada dalam sistem dan tidak dapat mengundi.
“Rasa ralat sangat sebab agak jauh juga untuk datang ke sini dari Batu Tiga,” katanya yang meminta kepimpinan parti menyelaraskan komunikasi di peringkat akar umbi agar maklumat dapat disampaikan secara tepat.
Walaupun sistem digital menjimatkan masa dan kemudahan, kehadiran segelintir ahli ini memberi isyarat bahawa masih ramai akar umbi selesa dengan cara lama – undi melalui kertas.
Sementara itu, media yang pada awalnya dibenarkan masuk untuk membuat liputan turut diarahkan keluar dari ruang dewan atas arahan parti yang tidak membenarkan sebarang liputan di lokasi berkenaan.
Ketua PKR Shah Alam menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang jawatan, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Adun Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.
Proses pengundian peringkat bahagian dilaksanakan secara berperingkat mengikut negeri bermula 11 hingga 20 April.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, berkata seramai 16,878 calon disahkan bertanding bagi pelbagai jawatan di 222 cabang, manakala 31 cabang tidak menyaksikan sebarang pertandingan di peringkat jawatankuasa cabang.
Proses pemilihan kali ini turut menyaksikan hingga 296,403 anggota layak mengundi, dan daripada jumlah itu seramai 8,040 memilih untuk mengundi fizikal.