Malaysia lakar sejarah anjur sidang Asean-GCC Mei depan

Malaysia lakar sejarah anjur sidang Asean-GCC Mei depan

Perdana menteri berkata ini kali pertama Malaysia anjur sidang libat Asean dan Negara Teluk.

anwar ibrahim riyadh
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kiri) di sidang kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk di Riyadh, Arab Saudi, pada October 2023. (Gambar Facebook)
BACHOK:
Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menganjurkan sidang kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (Asean-GCC) melibatkan semua negara Asean dan enam negara Teluk, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sidang kemuncak itu akan diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.

“Alhamdulillah kerana sistem kita ini, keamanan kita dan pertumbuhan ekonomi yang begitu baik, (kita) telah mendapat perhatian dunia, untuk mengadakan sidang ini,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama.

Perdana menteri berkata Malaysia juga menjemput China bagi menghadiri sidang kemuncak itu dan jemputan tersebut jelas menunjukkan sikap terbuka Malaysia dengan semua negara demi menjaga kepentingan rakyat.

“Insya-Allah akhir bulan Mei, Malaysia akan catat satu lagi sejarah. Kali pertama kita anjur sidang ketua-ketua negara Asean bersama ketua Negara Teluk, Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, Oman.

“..maksudnya kita adakan persidangan Asean-GCC dan kita juga jemput negara China dan ada kemungkinan besar Perdana Menteri China Li Qiang akan turut hadir.

“Kita tetap berkawan dengan semua negara jiran kita, dan tetap jaga kepentingan rakyat kita… rakyat mesti dapat peluang pekerjaan yang baik. Mesti dapat pelaburan baru. Kalau dari Amerika kita terima, dari Arab kita terima, dari China pun kita terima,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia kini menjadi antara rujukan oleh negara membangun dan maju terutama membabitkan ekonomi, sekali gus membuktikan dasar fiskal dan pentadbiran yang diguna pakai berada pada landasan tepat.

“Alhamdulillah ramai pemimpin negara luar menyatakan kekaguman mereka terhadap kestabilan ekonomi dan pelaburan di Malaysia.

“Kita bukan sekadar bercakap, tetapi telah menunjukkan hasil yang nyata menerusi pertumbuhan ekonomi dan kawalan inflasi yang baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.