
Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Annuar Musa berkata penggunaan karikatur itu juga tidak menyalahi undang-undang dan bukannya satu bentuk provokasi.
“Masing-masing ada cara dan pendekatan untuk memberi mesej kepada kerajaan selagi ia tidak menyalahi peraturan.
“Barisan Nasional (BN) juga ada cara mereka. Pada saya ini proses demokrasi dan biarkanlah ia berjalan,” katanya ketika ditemui dalam satu program kempen di sini.
Annuar turut mengingatkan DAP bahawa parti itu juga ketika menjadi pembangkang pernah menggunakan karikatur terhadap beberapa pemimpin termasuk bekas bekas perdana menteri, Najib Razak.
“Saya nampak karikatur PN ini lebih harmoni dan tiada provokasi, semua berjalan dengan baik dalam menyampaikan mesej,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming kesal dengan tindakan PN menggunakan karikatur seolah-olah menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook itu yang dianggapnya tidak wajar dan mencerminkan pendekatan politik sangat tidak matang.
Katanya, sindiran melalui karikatur seperti itu adalah berniat jahat dan tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara, malah cuba memesongkan tumpuan daripada isu sebenar.
Sepanduk dibawa penyokong PN itu dilihat memaparkan karikatur pemimpin tersebut dengan tulisan antaranya ‘nilai ringgit merosot’, ‘peningkatan cukai’, ‘penghapusan subsidi’ dan ‘shut up’.