
Jayant Menon, felo kanan di Institut Iseas-Yusof Ishak, berkata ketidaktentuan dasar perdagangan AS menjadikannya penting buat negara Asean mempelbagaikan corak perdagangan mereka.

“Ini tidak mungkin menjadi penghujung ketidaktentuan dalam dasar perdagangan AS,” katanya kepada FMT.
“Negara Asia Tenggara perlu berunding sebagai satu kumpulan dengan AS untuk mendapatkan pengurangan atau penghapusan kenaikan tarif baru-baru ini, tetapi ini harus seiring pengurangan kebergantungan pada pasaran AS.”
Ahli ekonomi Universiti Malaya, Goh Lim Thye, berkongsi pandangan sama dan berkata Asean tidak lagi boleh bergantung kepada satu pasaran utama semata-mata.

“Negara Asean perlu berunding secara diplomatik sambil beralih dengan tegas,” katanya sambil menambah negara melakukan reformasi dengan cepat akan mempunyai kelebihan.
Semalam, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan penangguhan sementara penguatkuasaan tarif import, kecuali ke atas China.
Pada 2 April lalu, beliau mengumumkan tarif “timbal balik” tinggi ke atas beberapa negara, termasuk banyak rakan dagang Asia Tenggara Washington, dengan Kemboja sebanyak 49%, Laos (48%), Vietnam (46%), Malaysia (24%) dan Singapura (10%).
Jayant dan Goh berkata, Komuniti Ekonomi Asean (AEC) ialah platform berpotensi membantu Asia Tenggara mengurangkan kebergantungan kepada perdagangan AS.
Dilancarkan pada 2015 untuk mewujudkan pasaran tunggal dan asas pengeluaran, AEC menunjukkan kemajuan perlahan dalam menghapuskan halangan perdagangan, dengan penganalisis mendapati hampir 20% langkah dirancang terlepas tarikh akhir awal mereka.
Jayant mengaitkan kemajuan perlahan rangka kerja itu dengan kepentingan bersifat perlindungan dalam negara anggota, tetapi kemungkinan hilang rakan dagang utama seperti AS akhirnya boleh mendorong semua pihak mempercepatkan perdagangan antara Asean melalui AEC.
“Apabila anda dipaksa menggantikan rakan dagang penting, maka perkara baharu kini berada di atas meja. Dan menangani pelbagai halangan bukan tarif boleh menjadi sebahagian tindak balas baharu itu.”
Goh menyifatkan AEC “satu-satunya laluan boleh dipercayai” untuk menjadikan strategi perdagangan “tanpa AS” berfungsi.
“Jika tarif dan kejutan luaran kini menjadi ciri struktur ekonomi global, maka pengukuhan ekonomi serantau bukan lagi pilihan – ia satu keperluan.”
Tetapi, Jayant berkata, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perjanjian perdagangan 15 negara merangkumi China, Jepun dan Korea Selatan, mungkin lebih relevan berbanding AEC.
“Di Asean, ada banyak negara serupa dan tidak cukup kesalinglengkapan. Terdapat lebih banyak kebolehgantian,” katanya sambil menambah kebanyakannya dihubungkan melalui rantaian bekalan global dan tidak banyak berdagang antara satu sama lain.
Negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam lebih memfokuskan elektronik, manakala Indonesia dan Filipina cenderung kepada komoditi – mewujudkan pertindihan, bukannya sinergi.