Skim Ponzi: Usahawan, peguam antara 8 ditahan, aset RM3.17 bilion dibeku

Skim Ponzi: Usahawan, peguam antara 8 ditahan, aset RM3.17 bilion dibeku

Polis berkata 638 akaun bank dan saham lebih RM1.16 bilion, 35 hartanah lebih RM2 bilion serta 10 kenderaan mewah antara aset dirampas.

razarudin
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata skim pelaburan tipu dikenali Pelaburan MBI itu berpusat di negara jiran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis membekukan aset lebih RM3.17 bilion dan menahan lapan individu kerana disyaki terbabit skim pelaburan Ponzi.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman melancarkan Op Northern Star rentas negara pada 20 Mac lalu hasil maklumat notis merah Interpol.

Beliau berkata, lapan warga tempatan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berumur 44 hingga 62 tahun ditahan.

“Antara yang ditahan termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pelbagai aset dan hasil perolehan haram dipercayai ada kaitan skim pelaburan tipu dikenali Pelaburan MBI berpusat di negara jiran dirampas serta dibekukan.

Ia termasuk 638 akaun bank dan saham lebih RM1.16 bilion, 35 hartanah dianggarkan lebih RM2 bilion, 10 kenderaan mewah, 12 jam tangan, empat beg tangan berjenama, dua unit barang kemas, wang tunai pelbagai mata wang asing, komputer riba, telefon bimbit serta dokumen penting.

Beliau berkata, semua suspek direman satu hingga tujuh hari untuk siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.