
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR berkata, pengundian itu akan dijalankan semula esok bermula 8 pagi hingga 5 petang.
“Semua anggota Pemuda dan Wanita muda 35 tahun ke bawah diminta menjalankan pengundian semula untuk peringkat bahagian,” katanya dalam notis pemberitahuan keputusan mesyuarat tergempar.
FMT telah menghubungi JPP untuk mendapat maklumat lanjut berkait pembatalan proses pengundian itu.
Menurut notis itu, tempoh pemilihan bagi peringkat jawatankuasa bahagian dan Wanita dilanjutkan dari 5 petang hingga ke 8 malam bagi semua.
“Anggota Pemuda dan Wanita muda 35 tahun ke bawah diingatkan bahawa mereka perlu mengundi untuk peringkat bahagian dan Wanita pada hari ini sebelum 8 malam,” katanya.
Seramai 19,356 ahli PKR Kedah layak mengundi pada pemilihan parti itu melibatkan semua 15 cabang di Kedah.
Ketua PKR Kedah, Nor Azrina Surip, berkata 19,003 orang daripada jumlah itu mengundi secara dalam talian manakala 280 menunaikan tanggungjawab mengundi secara fizikal.
Mengikut rekod, Kulim Bandar Baharu mencatatkan jumlah pengundi teramai iaitu 2,078 orang diikuti Padang Serai (2,029); Jerai (1,912); Alor Setar (1,578); Jerlun (1,495); Merbok (1,369); Sungai Petani (1,036) dan 1,201 pengundi masing-masing di Langkawi serta Pokok Sena.