Isunya sekarang adakah tindakan Shafie wajar, PBS soal Warisan

Isunya sekarang adakah tindakan Shafie wajar, PBS soal Warisan

PBS dakwa beberapa pemimpin Warisan termasuk Presiden Shafie Apdal cuba alih perhatian isu surat sokongan kelulusan dokumen pengenalan diri.

arthur sen
Naib Presiden PBS Arthur Sen berkata Shafie Apdal perlu faham sokongannya berhubung kelulusan dokumen pengenalan diri bukan sebagai rakyat biasa tetapi ketua menteri dan pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata beberapa pemimpin Warisan termasuk Presiden Shafie Apdal cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar dalam kenyataan berhubung dakwaan sokongan kelulusan dokumen pengenalan diri.

Naib Presiden, Arthur Sen, berkata isu yang dipersoalkan ialah kewajaran sokongan dalam bentuk nota bidai ‘sukacita dapat diluluskan’ dikeluarkan oleh Shafie dalam kapasitinya sebagai ketua menteri ketika itu.

“Kuasa dan tanggungjawab menilai dan mempertimbangkan permohonan-permohonan berkaitan sememangnya di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Namun begitu, isunya adakah wajar sokongan dalam bentuk nota bidai ‘sukacita dapat diluluskan’ dikeluarkan oleh Shafie?

“Beliau seharusnya memahami bahawa sokongan beliau tersebut bukannya datang daripada seorang wakil rakyat biasa, namun kapasiti beliau pada masa itu sebagai seorang ketua menteri dan pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN),” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini dilaporkan, seorang pemimpin Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menggesa pihak berkuasa menyiasat penularan dua surat rasmi mengandungi arahan bertulis Shafie yang menyokong permohonan dokumen pengenalan diri.

Sepucuk surat bertarikh 26 April 2019 meminta pihak berkuasa menyegerakan permohonan sambungan seorang penduduk Semporna untuk mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS), sementara sepucuk surat lagi bertarikh 9 Okt 2019 adalah berhubung permohonan kewarganegaraan anak seorang penduduk Lahad Datu.

Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun, mempersoalkan kewajaran campur tangan politik itu dan menggesa JPN serta KDN mendedahkan jumlah permohonan MyKAS, MyPR dan MyKad disokong Shafie antara 2018 hingga 2020.

Shafie kemudian mempertahankan tindakannya menulis surat sokongan untuk membantu mereka yang ingin mendapatkan kewarganegaraan atau dokumen pemastautin sementara, susulan timbulnya dakwaan itu.

Ketua Pemuda Warisan, Terence Au, yang cuba memberikan penjelasan surat tular itu turut dibidas Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), Jamain Sarudin, kerana langsung tidak mengakui ketulenan surat terbabit.

Sementara itu, Arthur turut mempersoalkan Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking sama ada tindakan Shafie wajar dilakukan.

“Sebagai timbalan presiden Warisan termasuk semasa Shafie menjadi ketua menteri, adakah Darrel mengetahui Shafie acap kali ‘menyokong’ permohonan MyKad dan MyKas dengan nota bidai ‘sukacita dapat diluluskan’ yang mempunyai unsur mencampuri urusan dan bidang kuasa JPN dan KDN?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.