Gubal segera akta wajib salur dana R&D, gesa ahli akademik

Gubal segera akta wajib salur dana R&D, gesa ahli akademik

Ramzah Dambul berkata Akta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) boleh bantu tingkat kedudukan universiti Malaysia di peringkat global.

research university
Ramzah Dambul berkata penyelidikan antara aspek utama dinilai dalam QS World University Rankings. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menggesa kerajaan menggubal Akta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi membolehkan universiti mendapat lebih banyak geran penyelidikan yang boleh meningkatkan kedudukannya di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Ramzah Dambul berkata penyelidikan antara aspek utama dinilai dalam Quacquarelli Symonds’ (QS) World University Rankings 2025 yang menyaksikan dua universiti Singapura berada dalam 20 terbaik.

Ramzah Dambul.
Ramzah Dambul.

Menurutnya, Universiti Nasional Singapura (NUS) berada pada kedudukan kelapan dan Universiti Teknologi Nanyang di nombor 15 manakala universiti terbaik Malaysia iaitu Universiti Malaya menduduki tangga ke-60.

“Keadaan itu membuktikan kita ‘tertinggal banyak’ dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) berbanding negara lain.

“Akta STI ini akan mewajibkan jumlah peruntukan tertentu dalam bidang R&D…contohnya 2% daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya kepada FMT sambil menjelaskan tindakan undang-undang boleh diambil jika dana itu tidak disalurkan.

Tambahnya, akta itu juga dapat menjamin wujud komitmen tinggi daripada pemain industri yang juga perlu membantu dari segi kewangan untuk sektor berkenaan.

“Kenapa Singapura boleh melabur lebih tinggi? Sebab sektor swasta turut menyumbang dengan signifikan, bukan harap duit kerajaan saja,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pihaknya menyasarkan mengubal rang undang-undang itu di Parlimen pada tahun ini selepas sesi libat urus dengan pelbagai pihak.

Bukan hanya obses dengan ranking dunia, sebaliknya Ramzah berpendapat kedudukan dan prestasi itu penting sebagai penanda aras bagi meningkatkan kualiti pendidikan universiti tempatan dari semasa ke semasa.

“Kalau kerajaan mahu sebuah universiti di Malaysia mencapai kedudukan ‘Top 20’ atau mencabar lagi ‘Top 10, patut beri lebih banyak sumber,” katanya.

Profesor Adjung Universiti Cyberjaya (UOC) Satinah Syed Saleh pula berkata selain meningkatkan peruntukan R&D, kerajaan juga harus memperbanyak kerjasama antarabangsa dengan universiti dan industri.

“Ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kredibiliti akademik, tetapi juga boleh menarik perhatian penerbitan jurnal berimpak tinggi.

“Kerjasama dengan universiti terkemuka dunia, program pertukaran pelajar dan pensyarah, serta penyelidikan bersama akan memberikan peluang untuk meningkatkan reputasi universiti di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, universiti tempatan juga harus mengambil pendekatan pengurusan lebih terbuka dengan memberi ruang untuk inovasi dan penyelidikan bebas agar mampu menarik lebih banyak penyelidik dan ahli akademik berkaliber tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.