
Ketua Polis Sungai Golok Jedsadavit Inpraphan berkata warga Malaysia itu antara 11 individu termasuk lima wanita yang ditahan dalam operasi kira-kira 9.30 pagi itu.
Katanya, turut dirampas bersama suspek yang berusia 21 hingga 37 tahun itu pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, pil yaba, ekstasi, Erimin 5 dan rokok elektronik yang mengandungi bahan terlarang.
“Tiga lelaki rakyat Malaysia yang ditahan itu berusia 23, 27 dan 32 tahun, yang dua daripadanya memiliki pil Erimin 5 dan ekstasi serta rokok elektronik dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.
Katanya, siasatan juga mendapati beberapa individu ditahan itu disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan pemilikan dadah, manakala sebahagian lagi disyaki sebagai pengguna.
Menurutnya, semua suspek dibawa ke ibu pejabat polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang berkaitan dadah berbahaya serta peraturan kastam.