
Muhammad Hafeez Abu Seman, 46, didakwa atas empat pertuduhan memindahkan wang RM101,871.31 daripada sebuah akaun bank miliknya serta satu pertuduhan memiliki wang RM60,989.52 dalam akaun bank miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Dia turut didakwa atas dua pertuduhan menerima wang tunai RM162,990 melalui akaun bank miliknya daripada seorang individu lain yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Semua pertuduhan berkenaan dilakukannya di dua bank berasingan, masing-masing di Damansara Utama dan Kajang dekat Shah Alam, antara 5 April, 13 April, 16 Ogos, 7 Julai, 30 Okt, dan 27 Dis 2022; 6 Jan, 9 Mac, 28 April, 1 Mei, 25 Jun, dan 1 Nov 2023 serta 10 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta mana yang lebih tinggi.
Bapa kepada lima anak itu turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima RM5,140 menerusi akaun bank miliknya, daripada seorang individu yang ada hubungan dengan kerja rasminya bagi urusan pendaftaran pernikahan luar negara di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006 pada 19 Sept 2022 serta 20 Jan 2023 di sebuah bank di Damansara Utama di Petaling Jaya.
Hukuman diperuntukan di bawah Seksyen 165 Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Fariz Abdul Hamid menawarkan jumlah jaminan RM300,000 bagi semua tujuh pertuduhan di bawah Akta 613, manakala RM10,000 untuk dua pertuduhan di bawah Akta 574.
Namun, peguam Adenan Ismail memohon agar jumlah jaminan untuk semua pertuduhan anak guamnya dikurangkan, dan mencadangkan mahkamah untuk mengenakan syarat tambahan lain bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
Beliau berkata, tidak ada risiko untuk anak guamnya melarikan diri serta tidak menghadirkan diri untuk prosiding selanjutnya kerana dia masih lagi berkhidmat sebagai penjawat awam.
Hakim Mohd Nasir Nordin menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua tujuh pertuduhan di bawah Akta 613 serta RM8,000 dengan seorang penjamin untuk dua kes di bawah Akta 574.
“Tertuduh juga diarah untuk melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan,” katanya.
Mahkamah turut membenarkan semua pertuduhan dipindahkan ke Mahkamah Kangar selepas permohonan dikemukakan oleh pihak pendakwaan berikutan kebanyakan saksi pendakwaan berada di Perlis.
Sebutan semula kes di Mahkamah Kangar ditetapkan pada 20 Mei ini.