‘Tiada keperluan’, menteri KDN jawab dakwaan Samsuri dipantau, telefon dipintas

‘Tiada keperluan’, menteri KDN jawab dakwaan Samsuri dipantau, telefon dipintas

Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai menteri besar, keselamatan Ahmad Samsuri Mokhtar dikawal setiap masa.

Saifuddin and Samsuri
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain kawalan keselamatan bagi seorang menteri besar, tiada pengawasan tambahan diperlukan bagi Ahmad Samsuri Mokhtar.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjawab dakwaan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa beliau dipantau ‘secara menyeluruh, senyap, dan berterusan’ oleh pihak berkuasa.

Saifuddin berkata, Samsuri harus sedar bahawa sebagai menteri besar, beliau mendapat kawalan keselamatan pada setiap masa, dan sebarang ‘pengawasan’ tambahan tidak diperlukan.

“Sebagai menteri besar, pergerakan beliau ditemani seorang pegawai polis untuk tujuan keselamatan pada sepanjang masa. Tiada keperluan ‘spy’ beliau kerana polis memang sentiasa bersamanya.

“Saya sendiri pernah tersenarai (untuk pengawasan) pada 2000-2004. Saya anggap ini sebahagian tugasan pihak berkuasa,” katanya kepada FMT.

“Saya beri kerjasama penuh dan hormat tugasan mereka. Sehingga suatu tempoh, nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut.”

Beliau berkata, semua VVIP dalam negara ini juga sentiasa diawasi untuk tujuan keselamatan, dengan Samsuri tidak terkecuali.

“Dan sementara VVIP yang lain faham keadaan ini, Samsuri memilih utk jadikan isu.”

Awal hari ini, Samsuri mendakwa beliau diletakkan bawah perintah kawalan perjalanan (TCO), yang menurutnya menandakan beliau sebagai individu berisiko dalam sistem kawalan sempadan Malaysia.

“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya bualkan – semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak ‘political master’ atau operator utamanya.

“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100%,” kata naib presiden PAS itu dalam kenyataan.

Samsuri menambah, selain dirinya, seorang lagi tokoh utama pembangkang turut dikenakan TCO.

Berhubung dakwaan telefon Samsuri dipintas, Saifuddin berkata: “Itu tanggapan beliau…walhal tiada apa-apa keperluan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.