‘Saya masih muda’, seloroh Azam di sebalik spekulasi lanjutan kontrak

‘Saya masih muda’, seloroh Azam di sebalik spekulasi lanjutan kontrak

Sebelum ini, wujud laporan media mendakwa Anwar Ibrahim dijangka lulus lanjutan khidmat Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, berkemungkinan untuk selama enam bulan.

Pada 4 April lalu, Anwar Ibrahim berkata belum ada keputusan dibuat mengenai perkhidmatan Azam Baki yang tamat bulan depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata beliau akan menerima keputusan kerajaan berkait tempoh kontrak perkhidmatannya yang tamat penghujung Mei.

Azam berkata pelantikannya dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengikut Subseksyen dengan 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009.

“Saya hanya menurut perintah,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu,

Mengulas sama ada beliau masih mampu menjalankan tugas digalasnya sejak 2020 itu, Azam yang akan berusia 62 tahun pada Mei depan berseloroh: “Saya masih muda.”

Pada 3 April lalu, sumber Bloomberg mendakwa Anwar dijangka meluluskan pelanjutan khidmat Azam, berkemungkinan untuk selama enam bulan.

Bagaimanapun pada keesokan harinya, Anwar menepis laporan itu dan berkata belum ada keputusan dibuat mengenai khidmat Azam.

Menggalas jawatan ketua pesuruhjaya sejak Mac 2020, kontrak Azam dilanjutkan selama setahun pada 10 Mei 2023 dan untuk setahun lagi pada tahun berikutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.