
Ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Anwar yang juga menteri kewangan mengesahkan Malaysia antara negara diberi penangguhan daripada tarif diperkenalkan Donald Trump itu.
“Malaysia terlibat. Melegakan sebentar,” katanya ringkas.
Anwar sebelum ini berkata kerajaan akan menghantar delegasi ke Amerika Syarikat untuk membincangkan tarif berkenaan.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia mengalu-alukan langkah AS untuk menangguhkan sementara tarif lebih tinggi ke atas banyak rakan dagangannya.
Beliau bagaimanapun mengakui ketidaktentuan itu mewujudkan cabaran besar terhadap ekonomi ASEAN.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), Trump pada Rabu berkata, beliau telah mempertimbangkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik yang dikenakan ke atas rakan dagang negara itu “sejak beberapa hari lalu” dengan memetik penglibatan diplomatik dan muhibah sebagai faktor di sebalik langkah tersebut.
Penangguhan itu hadir 24 jam selepas tarif berkenaan berkuat kuasa pada 9 Apr.
Pengumuman itu juga dibuat pada hari yang sama beliau menaikkan tarif AS ke atas import China kepada 125%.
Negara anggota wilayah Indochina ASEAN paling teruk terjejas akibat tarif AS, dengan Kemboja dikenakan tarif berjumlah 49%, diikuti Laos (48%), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Thailand pula dikenakan tarif 36%, Indonesia 32%, Brunei dan Malaysia kedua-duanya 24%, Filipina 17% dan Singapura pada tarif asas 10%.