Pembantu Jho Low maklum SPRM wang masuk dalam akaun Najib, mahkamah diberitahu

Pembantu Jho Low maklum SPRM wang masuk dalam akaun Najib, mahkamah diberitahu

Mendiang Kee Kok Thiam memberitahu agensi antirasuah itu bahawa wang tunai yang dideposit dibuat atas arahan Nik Faisal Ariff Kamil.

jho low
Jho Low menasihatkan sekutu-sekutunya supaya tidak kembali ke Malaysia susulan kemenangan PH pada PRU 2018, kata pegawai penyiasat SPRM Raywel Anduroh dalam mahkamah. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Tinggi diberitahu seorang sekutu ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, telah mendepositkan dana dalam akaun bekas perdana menteri, Najib Razak, lebih 10 tahun lalu.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raywel Anduroh, berkata mendiang Kee Kok Thiam dalam satu kenyataan direkodkan pada 2023, memaklumkan pihak berkuasa mengenai deposit tunai yang berlaku, antara 2014 dan 2015.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB Najib, Rayvel berkata, Kee memaklumkan kepada pihak berkuasa antirasuah bahawa deposit dibuat atas arahan Nik Faisal Ariff Kamil ke dalam akaun Najib.

Nik Faisal merupakan orang bertanggungjawab mengurus akaun Najib.

Raywel juga mendakwa Kee memberitahu SPRM, dia ‘bimbang’ susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH), pada PRU 2018.

“Dia berkata selepas mengetahui Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri bagi kali kedua, dia bimbang Najib akan disiasat.

“Kee berkata bahawa Low memberitahunya dan yang lain tidak kembali ke Malaysia, dan untuk ‘melihat keadaan semasa politik’,” katanya.

Menurut Raywel, Low memberitahu Kee dia akan diawasi jika kembali.

“Ini (dakwaan Low) menjadikan Kee bimbang dia akan menjadi subjek penyiasatan,” katanya.

Raywel mengesahkan Kee meninggal dunia pada 29 Mei 2023, tidak lama selepas kembali.

Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dideposit ke akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 15 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.