Hajiji, kerajaan Sabah tak campur tangan siasatan rasuah lombong, kata Azam

Hajiji, kerajaan Sabah tak campur tangan siasatan rasuah lombong, kata Azam

Azam Baki berkata SPRM mengambil keterangan Hajiji Noor sebanyak dua kali berkait siasatan kes rasuah libat beberapa Adun Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata lapan Adun telah dipanggil selain pihaknya sedang meneliti kredibiliti video terkait, dengan siasatan masih diteruskan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua kali keterangan Hajiji Noor diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes rasuah dikaitkan dengan Adun Sabah, kata Ketua Pesuruhjaya Azam Baki.

Beliau berkata, ketua menteri Sabah mahupun kerajaan negeri juga tidak campur tangan dalam siasatan kes tersebut.

“Setakat ini, semua kenyataan telah diambil termasuk daripada Adun terbabit…ada lagi tinggal kenyataan seorang individu yang terlibat dalam rakaman video kes berkenaan yang perlu kita dapatkan penjelasan,” katanya menurut Bernama di Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Sabah yang turut dihadiri Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Muguntan Vanar.

Tahun lalu, sebuah portal melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan Adun negeri itu didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek.

Azam berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya memanggil individu itu untuk diambil keterangan, serta mendapatkan dokumen dikehendaki bagi siasatan kes tersebut, dan lapan Adun Sabah terlibat turut dipanggil.

“Lapan Adun itu dipanggil bagi memberi penjelasan, video itu dimainkan di depan Adun ini untuk perjelaskan sendiri apa yang sebenarnya berlaku. Sebab itu saya gesa kepada semua jangan awal-awal buat kesimpulan dahulu dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Makmal Forensik SPRM masih menjalankan analisis terhadap 10 video terbaharu melibatkan kes tersebut dan beliau telah mengarahkan supaya analisis itu diselesaikan secepat mungkin.

“Analisis lapan video sebelum ini mendapati ada unsur-unsur penambahbaikan, suntingan, dan sebagainya. Ia tiada kredibiliti untuk dijadikan bahan bukti dalam siasatan, tidak boleh diterima dalam mahkamah. Video sekarang masih dalam penelitian.

“Video baharu ini lebih panjang perlu dilihat jika ada suntingan, ‘break in frame, doctoring, super impose’, audio juga diteliti. Namun, siasatan masih diteruskan sementara menunggu hasil penelitian ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.