
KKM berkata, terdapat banyak komen mengenai kematian yang didakwa berlaku akibat kejadian itu.
“Ditegaskan bahawa KKM tiada menerima sebarang laporan daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta berkenaan hal (kematian orang awam berikutan kebakaran paip gas Putra Heights),” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga telah memaklumkan kepada pengawal selia internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai dakwaan tersebut.
“Pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan komen-komen tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran awam akan diambil tindakan keras mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Semalam, polis Selangor menyangkal dakwaan yang tersebar bahawa pihak berkuasa menyembunyikan kematian berkait kebakaran itu.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, dakwaan itu tidak berasas dan polis tidak memperoleh sebarang manfaat menyorok maklumat sebegitu.
Kebakaran paip gas Petronas pada 1 April lepas menyaksikan api menjulang lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, yang mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan.
Menurut KKM, 38 daripada 146 mangsa masih dirawat, dengan 18 daripadanya di hospital kerajaan dan selebihnya di fasiliti swasta.