KDN haram 2 buku mudarat ketenteraman awam

KDN haram 2 buku mudarat ketenteraman awam

Perintah larangan diwartakan Kementerian Dalam Negeri bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berkuat kuasa 10 Mac lalu.

kementerian dalam negeri
‘The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed’ dan ‘Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/Cyrus The Great dan Iskandar Agung’ diharamkan Kementerian Dalam Negeri.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengharamkan penerbitan dua buku kerana mungkin memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam.

Perintah larangan itu diwartakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) berkuat kuasa 10 Mac lalu bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan boleh mengganggu-gugat keselamatan dan keharmonian masyarakat.

Dua buku itu ialah ‘The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed’ oleh Abdullah Hashem dan ‘Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/Cyrus The Great dan Iskandar Agung’.

KDN berkata, perintah larangan bawah Akta 301 berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

“Pada masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” katanya dalam kenyataan.

KDN berkata, perintah larangan semua hasil penerbitan itu selaras peruntukan bawah Subseksyen 7(1) Akta 301, yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut dilarang secara mutlak.

Katanya, individu yang melanggar larangan itu boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.