
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Merican, berkata kerajaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penguatkuasaan dan pematuhan bagi menangani ketirisan hasil, khususnya dalam sektor yang terdedah dengan perdagangan haram.
“Contohnya rokok. Kita sedar terdapat rokok seludup di pasaran — rokok yang tidak dibayar cukai,” katanya.
Menurut anggaran, Malaysia kehilangan sekitar RM5 bilion setiap tahun dalam hasil cukai tembakau — menunjukkan hanya satu aspek daripada ekonomi bayangan yang jauh lebih besar.
Ejen cukai berlesen di Invatex Consulting, Poovarni Rajagopal, berkata RM5 bilion yang ‘lesap begitu sahaja’ setiap tahun memberi kesan besar terhadap kesejahteraan ekonomi negara.
“RM5 bilion adalah sebahagian besar daripada potensi hasil kerajaan. Jumlah ini hampir sama atau melebihi belanjawan tahunan beberapa kementerian atau peruntukan pembangunan utama,” katanya kepada FMT.
Merujuk anggaran industri, Johan berkata cukai hanya dikenakan ke atas separuh daripada jumlah rokok yang dijual dalam negara, manakala selebihnya lagi tidak dibayar.
Rakyat Malaysia umumnya menyokong tindakan tegas terhadap barangan haram.
Menurut tinjauan Merdeka Centre 2025, 70% rakyat bimbang mengenai perdagangan tembakau haram. Manakala, 79% setuju usaha membanteras perdagangan haram dapat mengekang aktiviti jenayah dan meningkatkan hasil cukai untuk membiayai perkhidmatan awam penting.
Johan menegaskan agensi penguatkuasaan diberi kuasa dan dilengkapi dengan sumber yang diperlukan untuk bertindak.
“Kerajaan melabur lebih banyak — dalam penggunaan pengimbas di pelabuhan dan meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan.
“Jika kita dapat terus mengurangkan tahap perdagangan haram ini, ia pasti diterjemahkan kepada hasil yang lebih tinggi untuk kerajaan,” katanya.
Namun, pakar berpendapat walaupun berada di landasan betul, sistem penguatkuasaan Malaysia masih boleh dipertingkatkan melalui kawalan sempadan lebih ketat dan penggunaan teknologi canggih.
Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata penguatkuasaan mesti dibiayai seiring peningkatan cukai.
“Pendapatan tambahan daripada kenaikan cukai ke atas produk tembakau harus digunakan untuk membiayai program kawalan tembakau, termasuk menghentikan tabiat merokok dan penguatkuasaan lebih ketat.
“Penguatkuasaan di Malaysia ketika ini belum berada pada tahap memuaskan, jadi ia boleh dipertingkat terutama rondaan sempadan,” katanya.
Poovarni bersetuju kenaikan cukai sahaja tidak akan menyelesaikan masalah kerana ‘pemantauan lemah dan sistem kutipan kurang cekap membolehkan pengelakan cukai dan ketirisan’.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan penggunaan setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkatkan bagi membanteras pemalsuan dan ketirisan.
Poovarni mengingatkan, walaupun sistem digital ternyata berkesan setiap teknologi ada kelebihan dan kekurangan.
“Kod QR dan kod bar sangat terdedah kepada pengklonan dan manipulasi,” katanya, menegaskan bungkusan dengan kod QR palsu atau diklon sudah ada di Malaysia.
Masalah ini bukan sesuatu yang unik kepada Malaysia. Kajian KPMG dikeluarkan tahun ini mendapati Kesatuan Eropah, yang menggunakan sistem digital sepenuhnya, merekodkan kadar penggunaan tembakau haram tertinggi sejak 2015. Ia bersamaan 38.9 bilion batang rokok pada 2024, atau peningkatan 10.8% berbanding 2023.
Beberapa negara menangani isu ini dengan menggunakan setem cukai hibrid — atau ‘phygital’, iaitu gabungan fizikal dan digital. Setem ini mengandungi tanda jelas yang boleh dilihat pengguna, elemen forensik tersembunyi untuk penguat kuasa, serta pengecam digital unik yang dipautkan kepada pangkalan data selamat.
Sistem setem cukai ‘phygital’ Malaysia diperkenalkan kali pertama pada 2015.
Kaedah ‘phygital’ ini meningkatkan halangan kepada pemalsuan: sindiket perlu memalsukan kedua-dua setem fizikal dan data yang disulitkan, sekali gus meningkatkan keberkesanan pencegahan. Ketika ini, kebanyakan penguatkuasaan bergantung pada rampasan dan denda, yang masih tidak mencukupi untuk membanteras perdagangan haram.
“Tanpa ciri keselamatan fizikal, pegawai penguat kuasa juga sukar mengesahkan ketulenan secara visual, terutama di kawasan dengan sambungan internet rendah,” kata Poovarni.
Sharifa menegaskan penguatkuasaan lebih ketat penting demi mencapai matlamat fiskal dan kesihatan awam.
“Rokok haram lebih murah berbanding yang sah dijual di kedai. Dalam kes ketagihan, kesedaran awam tidak menghalang perokok daripada menggunakan rokok haram,” katanya, menekankan keperluan bagi kedua-dua usaha berhenti merokok dan alternatif lebih selamat selain kawalan tembakau.