
Hakim Azhar Abdul Hamid memerintahkan hukuman terhadap Abdul Wahab, 60, dan Muhammad Rafiq, 52, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Menurut Bernama, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada kastam Putrajaya, Syazwani Zawawi dan Muhammad Amin Azmi, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam A Venkateswari dan A Rajee.
Sebanyak 19 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan, termasuk kedua-dua tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 2020.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Wahab dan Rafiq didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis ketamin masing-masing seberat 126.502 kg dan 63.79 kg di dua premis di Jalan Munshi Abdullah, Dang Wangi, Kuala Lumpur, dan Taman Teluk Gedung Indah, Klang, antara 4.30 petang dan 10.30 malam, 25 Mac 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Wahab turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis sama seberat 987.6g pada tempat, tarikh, dan masa sama dan dituduh mengikut seksyen sama.