Surat sokongan: Macam mana saya nak tahu pemohonnya Pati, soal Shafie

Surat sokongan: Macam mana saya nak tahu pemohonnya Pati, soal Shafie

Bekas ketua menteri itu berkata, beliau hanya bantu individu dipercayainya orang Sabah tanpa kerakyatan, dan keputusan muktamad terletak pada JPN.

Shafie Apdal
Bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal berkata, beliau tidak sampai hati menolak rayuan individu yang meminta bantuannya kerana mereka datang dari jauh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal mempertahankan tindakannya menulis surat sokongan untuk membantu mereka yang ingin mendapatkan kewarganegaraan atau dokumen pemastautin sementara, susulan timbulnya dakwaan ada dalam kalangan pemohon pendatang tanpa izin.

Shafie berkata, beliau tidak sampai hati menolak rayuan individu tersebut kerana mereka datang dari jauh untuk mendapatkan bantuannya.

Tambahnya, beliau hanya menulis surat sokongan, dan keputusan muktamad mengenai permohonan tersebut terserah pada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Saya tak tahu latar belakang individu yang minta sokongan saya, sama ada mereka orang Sabah atau bukan warganegara,” kata presiden Warisan itu, lapor The Borneo Post.

“Sebagai sesama manusia dan sebagai pemimpin, apabila orang datang dari kampung yang jauh minta surat sokongan untuk mohon kad pengenalan, bagaimana saya nak tahu mereka orang Sabah atau bukan … atau (sama ada mereka) pendatang?

“Kuasa terletak pada JPN, bukan saya. Tetapi bagaimana saya nak tolak orang yang datang jauh dari Tongod dan Pensiangan, bawa surat minta bantuan?”

Shafie menegaskan, kuasa mengeluarkan dokumen pengenalan diri terletak pada JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), bukan beliau sebagai ketua menteri ketika itu.

Sementara itu, peguam Shafie, Chen Ket Chuin berkata, surat sokongan daripada Shafie adalah untuk orang Sabah tanpa kerakyatan yang memohon dokumen pengenalan diri, bukan pendatang tanpa izin.

Sabtu lepas, seorang pemimpin Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menggesa pihak berkuasa menyiasat penularan dua surat rasmi mengandungi arahan bertulis Shafie yang menyokong permohonan dokumen pengenalan diri.

Sepucuk surat bertarikh 26 April 2019 meminta pihak berkuasa menyegerakan permohonan sambungan seorang penduduk Semporna untuk mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS), sementara sepucuk surat lagi bertarikh 9 Okt 2019 adalah berhubung permohonan kewarganegaraan anak seorang penduduk Lahad Datu.

Pengerusi Majlis Belia KDCA Steve Johnny Mositun mempersoalkan kewajaran campur tangan politik itu dan menggesa JPN serta KDN mendedahkan jumlah permohonan MyKAS, MyPR dan MyKAD disokong Shafie antara 2018 hingga 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.