Shahelmey boleh hilang kerusi Parlimen jika tanding PRN atas tiket lawan

Shahelmey boleh hilang kerusi Parlimen jika tanding PRN atas tiket lawan

Azmi Hassan berkata Shahelmey Yahya akan melanggar undang-undang antilompat parti jika bertanding atas tiket lawan pada PRN Sabah.

Shahelmey Yahya yang digantung keahlian Umnonya selama enam tahun, memegang kerusi Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat yang dimenangi atas tiket BN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Shahelmey Yahya boleh kehilangan kerusinya di Dewan Rakyat jika bertanding atas tiket parti lawan pada PRN akan datang, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Shahelmey akan hilang keahlian Umnonya secara automatik dengan berbuat demikian.

azmi hassan
Azmi Hassan.

“Shahelmey sedang menjalani penggantungan enam tahun daripada Umno dan tidak layak bertanding sebagai calon mereka. Untuk mempertahankan kerusi DUN Tanjung Keramat, beliau mungkin perlu bertanding atas tiket parti lain.

“Tetapi, perlembagaan Umno jelas. Jika beliau bertanding atas tiket parti lain, beliau akan hilang keahliannya,” kata Azmi kepada FMT.

Fasal 20.11.1 perlembagaan Umno menyatakan ahli parti yang juga Ahli Parlimen atau Adun hilang keahlian mereka secara automatik, jika menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai gabungan tidak sehaluan dengan Umno.

Fasal 20.11.2 memperuntukkan mereka akan hilang keahlian secara automatik, jika bertanding dalam mana-mana pilihan raya, sama ada atas tiket parti lain atau sebagai calon bebas.

Seorang pemimpin Umno enggan dinamakan, mengesahkan perkara itu di bawah perlembagaan parti.

“Jika Shahelmey bertanding atas tiket parti lain, beliau akan hilang keahlian Umnonya secara automatik,” katanya sambil menambah hilang keahlian parti seterusnya akan melanggar Perkara 49(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 49(1)(a)(ii) memperuntukkan seorang Ahli Parlimen akan hilang kerusinya di Dewan Rakyat jika “setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik, dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu”.

Shahelmey kini memegang kerusi Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN).

Beliau digantung enam tahun oleh Umno pada Januari 2024 selepas menentang cubaan BN Sabah menggulingkan pentadbiran Hajiji Noor dan memberikan sokongannya kepada kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah setahun sebelumnya.

Beliau dilantik timbalan ketua menteri dalam rombakan Kabinet negeri berikutnya.

Pada 26 Mac lalu, Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin mendakwa Shahelmey mengkhianati parti dan mengingatkannya supaya “tidak memasang cita-cita mewakili BN pada PRN 17”.

Spekulasi pertukaran parti timbul dua hari kemudian, selepas Shahelmey memuat naik gambar dirinya bersama Khairy Jamaluddin yang dipecat Umno, di media sosial. Turut hadir Arsad Bistari, Adun BN Sabah yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

Shahelmey kemudian berkata, gambarnya bersama Khairy tidak lebih daripada pertemuan persahabatan. Katanya, hanya kepimpinan BN boleh membuat keputusan mengenai pencalonan dan beliau akan mengumumkan rancangannya “pada masa sesuai”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.