Prebet maut di kem Sri Miri, 2 tentera didakwa bunuh

Prebet maut di kem Sri Miri, 2 tentera didakwa bunuh

Muhammad Afiq Syarim dan Mohamad Faies Khuzaimah berdepan tuduhan bunuh Muhammad Muqriz Aseri, 21.

gavel
Tertuduh Muhammad Afiq Syarim dan Mohamad Faies Khuzaimah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret Miri kerana menyebabkan kematian rakan sepasukan, pada 24 Mac lalu.

Tertuduh, Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh Muhammad Muqriz Aseri, 21.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian Muqriz antara 2.15 pagi hingga 3.05 pagi, 24 Mac lalu.

Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri.

Kedua-dua tertuduh yang memakai pakaian sukan hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ashok Linggam, lapor Berita Harian.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggan Bennet kemudian memohon ditetapkan tarikh untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa dan laporan kimia.

Ashok membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani tahanan lanjut mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu tarikh itu.

Tertuduh pertama tidak diwakili peguam, namun tertuduh kedua diwakili Ranbir Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.