
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkod, meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.
Katanya, bagi suku pertama tahun ini juga merekodkan peningkatan 17.1%, berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagi saya, kes rogol dan sumbang mahram sangat membimbangkan. Jika dulu lelaki yang mencari perempuan, namun kini di Kelantan sebaliknya yang berlaku, apabila perempuan yang mencari lelaki untuk membuat hubungan.
“Ada kes beberapa bulan lalu, anak saudara perempuan berusia 10 tahun meminta membuat hubungan dengan bapa saudara berusia 20-an yang akhirnya mengandung,” katanya menurut Berita Harian di Kota Bharu.
Beliau turut mendedahkan ada kes kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun membuat hubungan dengan sepupu perempuan berusia 15 tahun sehingga mengandung.
“Hasil siasatan yang dilakukan, sebanyak 98 kes yang dilaporkan adalah suka sama suka.”
Yusoff berkata, punca kejadian rogol dan sumbang mahram disebabkan konflik keluarga, kesibukan ibu bapa, faktor cinta, kurang didikan agama, selain pengaruh rakan sebaya dan dadah.
“Hasil rampasan telefon yang dilakukan terutama bagi wanita, banyak gambar dan video porno yang disimpan dalam telefon bimbit mereka.
“Ada juga baru berkenalan beberapa minggu, namun sudah merakam gambar bogel dan menghantar kepada rakan lelakinya itu. Situasi ini sangat membimbangkan,” katanya menyeru ibu bapa memainkan peranan dan kerap memeriksa telefon bimbit anak masing-masing.