Pembelaan dihalang dapat minit prosiding reman ibu bapa Zayn Rayyan

Pembelaan dihalang dapat minit prosiding reman ibu bapa Zayn Rayyan

Peguam Haresh Mahadevan berkata arahan halang dokumen itu dikeluarkan satu bentuk campur tangan pentadbiran keadilan.

Zaim Ikhwan Zahari-Ismanira Abdul Manaf -
Ismanira Abdul Manaf dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari ketika hadir untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Peguam kepada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didakwa atas tuduhan pengabaian anak, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen bahawa permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan minit prosiding reman pasangan itu ditolak.

Peguam Haresh Mahadevan memberitahu Hakim Syahliza Warnoh bahawa mereka menulis surat kepada seorang majistret pada Februari lalu bagi mendapatkan dokumen tersebut sebagai persediaan pembelaan, tetapi dimaklumkan pada Isnin bahawa pegawai atasan mengarahkan minit tersebut tidak dikeluarkan.

Haresh berkata pihak pembelaan terkejut dan kecewa dengan perkembangan itu.

“Ini jelas satu bentuk campur tangan dalam pentadbiran keadilan,” katanya sambil menegaskan bahawa minit prosiding itu merupakan dokumen awam.

Haresh, yang dibantu peguam Ramzani Idris, berkata mereka akan menulis semula kepada majistret tersebut untuk mengenal pasti pegawai atasan yang memberikan arahan itu bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Katanya, pihak pembelaan memerlukan minit itu bagi menyoal balas pegawai penyiasat, Hafizee Ismail, dan mengemukakannya sebagai eksibit pembelaan.

Syahliza mengambil maklum perkara itu dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk menangguhkan baki tarikh perbicaraan minggu ini bagi membolehkan mereka membuat persediaan.

Perbicaraan disambung semula pada 21 April.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon supaya perbicaraan ditangguhkan berikutan beberapa masalah teknikal berkaitan eksibit, termasuk pemacu pena (pen drive).

Haresh turut memaklumkan bahawa pihak pendakwaan hanya menyerahkan kenyataan saksi Hafizee semalam, sedangkan undang-undang menetapkan ia perlu diserahkan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum saksi memberi keterangan.

“Pegawai penyiasat adalah saksi penting dan kami perlukan masa untuk meneliti kenyataan serta kandungan pemacu pena tersebut,” katanya.

Sebelum itu, saksi pendakwaan Latifah Abdul Aziz, penganalisis kanan audio dan video dari makmal forensik Bukit Aman, memberitahu beliau mengekstrak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan sekitar pangsapuri di Damansara Damai selepas Zayn Rayyan dilaporkan hilang.

“Rakaman yang dianalisis tidak dapat mengecam dengan jelas wajah ibu, Ismanira Abdul Manaf, dan mangsa kerana kualiti video yang kabur,” katanya.

Latifah, saksi pendakwaan ke-26, berkata beliau turut mengekstrak sebahagian rakaman yang menunjukkan Ismanira membeli barangan runcit di sebuah kedai serbaneka sebelum mengambil anaknya dari sekolah sekitar tengah hari.

Katanya, Ismanira berjaya dikenal pasti dalam rakaman tersebut.

Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, masing-masing berusia 30 tahun, ditahan pada 31 Mei tahun lalu dan direman maksimum 14 hari.

Pasangan itu dibawa ke hadapan majistret pada 1 dan 7 Jun bagi permohonan lanjutan reman.

Mereka mengaku tidak bersalah pada 13 Jun lalu atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun, dalam keadaan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dan mayatnya ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada keesokan harinya.

Mangsa dipercayai dibunuh selepas hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.