Kebakaran Putra Heights: Penjawat awam Selangor akan sumbang lebih RM100,000

Kebakaran Putra Heights: Penjawat awam Selangor akan sumbang lebih RM100,000

Setiap exco, Adun dan penjawat awam Gred 48 ke atas masing-masing akan sumbang RM1,000, RM200 dan RM50, kata menteri besar.

Massive gas pipeline fire in Malaysia
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, dianggarkan sejumlah RM102,050 akan disumbangkan kepada Tabung Prihatin Selangor untuk disalurkan kepada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights. (Gambar EPA Images)
SHAH ALAM:
Penjawat awam di Selangor akan menyumbang lebih RM100,000 kepada Tabung Prihatin Selangor bagi membantu mangsa kebakaran paip gas Putra Heights, menurut Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata, setiap exco, Adun dan penjawat awam Gred 48 ke atas masing-masing akan menyumbang RM1,000, RM200 dan RM50, dengan jumlah keseluruhan sumbangan dianggarkan RM102,050.

Katanya, setakat malam tadi, 469 daripada 613 keluarga telah dikenal pasti untuk menerima bantuan kewangan tambahan.

“Sebanyak 81 pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akan terima RM10,000 setiap seorang, manakala bakinya akan terima RM5,000 setiap seorang,” katanya pada sidang media.

Tabung Prihatin Selangor yang ditubuhkan kerajaan negeri itu menyokong usaha pemulihan dan bantuan mangsa kebakaran, termasuk bantuan tunai, pembaikan rumah dan penginapan sementara.

Sementara itu, Amirudin berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia akan ditutup malam ini setelah semua penghuninya pulang ke rumah, manakala mangsa di Masjid Putra Heights akan pulang secara berperingkat sehingga akhir minggu ini.

Tambahnya, lebih 1,000 sukarelawan akan digerakkan hujung minggu ini untuk membantu usaha pembersihan di kawasan terjejas.

Ketika kebakaran saluran paip gas milik Petronas pada kira-kira 8.10 pagi, 1 April lepas, api menjulang lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.