1MDB henti saman wanita Singapura beli barang mewah USD346 juta

1MDB henti saman wanita Singapura beli barang mewah USD346 juta

Namun, syarikat itu mengekalkan Rosmah Mansor sebagai defendan pertama.

rosmah
1MDB dan 10 syarikat tuntut Rosmah Mansor bayar USD346,010,489 atau sejumlah amaun ditaksir mahkamah atas dakwaan beli barangan mewah hasil dana syarikat itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
1MDB dan 10 anak syarikatnya menarik balik saman terhadap wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani, berhubung pembelian barangan mewah bernilai lebih USD346 juta, didakwa daripada dana 1MDB diseleweng.

Wanita itu disaman bersama Rosmah Mansor, namun isteri kepada bekas perdana menteri, Najib Razak itu masih kekal sebagai defendan pertama dalam saman tersebut.

Peguam Nathalie Ker Si Min yang mewakili 1MDB, berkata penghakiman persetujuan telah direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Wan Muhammad Amin Wan Yahya pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

“Penghakiman persetujuan tersebut merekodkan bahawa plaintif (1MDB) menghentikan saman terhadap Shabnam dengan kebebasan untuk memfailkan semula,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peguam N Sivananthan yang mewakili Shabnam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 9 Mei 2024, 1MDB dan 10 syarikat memfailkan saman itu dengan menamakan Rosmah dan Shabnam (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.

Sepuluh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd, Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited, dan Brightstone Jewellery Limited selaku plaintif kedua hingga ke-11.

Semua plaintif,antara lain, menuntut agar Rosmah membayar USD346,010,489 atau sejumlah amaun yang akan ditaksir oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan defendan pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.