Beban berlebihan punca pesawat terhempas di Kapar, kata BSKU

Beban berlebihan punca pesawat terhempas di Kapar, kata BSKU

Menurut laporan akhir kemalangan, juruterbang melakukan gerakan agresif melebihi had kemampuan pesawat.

blackshape aircraft
Gambar fail menunjukkan pesawat ringan Gabriel 160 yang dikeluarkan syarikat Blackshape Aircraft dari Itali. (Gambar Blackshape)
PUTRAJAYA:
Juruterbang pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang terhempas di Kapar, Selangor, tahun lepas, didapati melakukan gerakan penerbangan agresif melebihi had kemampuan pesawat, menurut laporan akhir kemalangan itu.

Hal itu menyumbang kepada beban berlebihan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat, justeru membawa kepada pemisahan bahagian ketika penerbangan.

“Kegagalan dan pemisahan bahagian struktur ketika penerbangan akibat tekanan operasi berlebihan pada bahan komposit pesawat yang lemah, dikenal pasti sebagai punca utama nahas pesawat terbabit.

“Kekukuhan struktur pesawat terjejas oleh operasi berulang di luar had operasi penerbangan yang diluluskan, termasuk melebihi kelajuan udara maksimum, faktor beban dan had struktur, yang memberi tekanan tidak wajar pada strukturnya,” menurut laporan akhir oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, pemasangan bahagian yang tidak diperakui, terutamanya ‘tie-down rings’, melemahkan lagi kekukuhan pesawat dan menyumbang kepada kegagalan itu, menurut laporan yang diterbitkan di laman web rasmi Kementerian Pengangkutan itu.

Laporan setebal 204 muka surat itu memaklumkan beberapa faktor menyumbang kepada nahas berkenaan telah dikenal pasti, iaitu prestasi juruterbang, penyelenggaraan pesawat, kegagalan organisasi dan pengawasan operasi.

“Pesawat itu menjalani amalan penyelenggaraan yang tidak diluluskan, termasuk pemasangan alat ganti yang tidak diperakui oleh kakitangan yang tidak berkelayakan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat, menjadikannya lebih terdedah kepada kegagalan ketika penerbangan,” menurut laporan itu.

Katanya, tiada penumpang boleh selamat daripada nahas tersebut susulan daya nyahpecutan yang besar semasa hentaman.

Sementara itu, dapatan lain menunjukkan kepekatan alkohol dalam darah juruterbang terlibat ialah 0.032% iaitu melebihi had yang dibenarkan undang-undang (0.02%) yang mungkin menjejaskan prestasi juruterbang semasa penerbangan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dalam laporan sama mencadangkan untuk melaksanakan langkah dipertingkat bagi meneliti operasi penerbangan tidak berjadual dalam Malaysia, khususnya melibatkan pesawat yang didaftarkan di luar negara dan kru pesawat berlesen asing.

Pada 13 Feb lepas, pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah atau rekreasi.

Dalam kejadian pada 1.36 petang itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor dan ditemukan musnah serta dua individu iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat itu terkorban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.