
Bagaimanapun, tertuduh Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Hafiz didakwa melakukan khianat terhadap harta benda dengan cara merosakkan pintu depan kereta milik seorang wanita di Taman Satria, Senawang pada 10.20 malam, 29 Mac lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Syed Fadil Syed Othman.
Syed Fadil memohon mahkamah memberi jaminan yang minimum dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai anggota tentera dan menanggung dua anak manakala isterinya hanya suri rumah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 19 Mei ini.
Pada Isnin lalu, tertuduh yang tular menumbuk seorang pemandu wanita berhampiran bazar Aidilfitri Dataran Senawang mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan mencederakan mangsa berusia 28 tahun.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000.
Media sebelum ini melaporkan satu video tular di TikTok menunjukkan wanita memandu Perodua Axia yang masih berada dalam kereta ditumbuk dua kali oleh seorang lelaki dekat Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan berang anaknya dilanggar ketika melintas jalan berhampiran bazar Aidilfitri kawasan terbabit.