Wajib lapor pendapatan walau perniagaan rugi, kata LHDN

Wajib lapor pendapatan walau perniagaan rugi, kata LHDN

Ramai pembayar cukai menganggap tidak perlu melaporkan pendapatan jika mengalami kerugian sedangkan itu tanggapan salah.

Kegagalan melaporkan pendapatan kepada LHDN dalam tempoh ditetapkan adalah kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.
KUALA LUMPUR:
Individu yang menjalankan perniagaan wajib melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) walaupun mereka mengalami kerugian.

Ketua Penolong Pengarah LHDN Kuala Lumpur, Syed Mohd Syukree Syed Mohd Kamil, berkata ramai pembayar cukai menganggap mereka tidak perlu melaporkan pendapatan jika mengalami kerugian sedangkan itu adalah tanggapan salah.

“Rugi dalam perniagaan adalah perkara biasa. Tak kira untung atau rugi, anda tetap wajib hantar dan laporkan pendapatan setiap tahun. Jangan risau kalau perniagaan rugi, tidak semestinya anda kena cukai.

“Kalau anda mempunyai pendapatan lain seperti gaji, gabungan pendapatan akan dikira dalam Borang B (Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi individu yang menjalankan perniagaan). Jadi, masih berkemungkinan anda dikenakan cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio hari ini yang membincangkan topik ‘Perniagaan Untung atau Rugi: Wajib Hantar Borang B’.

Syed Syukree berkata, individu yang diklasifikasikan menjalankan perniagaan termasuk YouTuber, ‘Instafamous’, pempengaruh atau yang membuat ulasan berbayar, selagi mereka menerima pendapatan.

Beliau menegaskan, kegagalan melaporkan pendapatan dalam tempoh ditetapkan adalah kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.

“Menurut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) boleh menyebabkan seseorang dikenakan denda antara RM200 hingga RM20,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, anda boleh dikenakan audit cukai, melibatkan semakan menyeluruh terhadap semua transaksi dan dokumen kewangan perniagaan. Proses ini boleh jadi rumit, memakan masa dan menjejaskan reputasi serta kewangan perniagaan, jadi boleh mula lapor pendapatan sekarang melalui Borang B atau e-B di Portal MyTax dari 1 Mac hingga 15 Julai,” katanya.

Bagi memudahkan urusan penghantaran laporan pendapatan itu setiap tahun, beliau menyarankan rekod percukaian perniagaan disimpan sekurang-kurangnya tujuh tahun termasuk penyata kewangan perniagaan, penyata bank, rekod keluar masuk wang tunai, invois pembekal dan invois jualan kepada pelanggan.

“Untuk perbelanjaan yang boleh dituntut pula, hanya perbelanjaan yang benar-benar berkaitan secara langsung dengan perniagaan sahaja yang dibenarkan. Oleh itu, anda perlu bijak membezakan antara perbelanjaan perniagaan dan perbelanjaan peribadi supaya tidak melakukan kesalahan semasa menghantar dan melaporkan pendapatan anda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.