Polis nafi sorok kematian kebakaran paip gas Putra Heights

Polis nafi sorok kematian kebakaran paip gas Putra Heights

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata tiada manfaat pihak berkuasa sembunyi maklumat dari orang awam.

Hussein Omar Khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata tiada sebab untuk polis menyembunyikan kematian dalam kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights.
SUBANG JAYA:
Polis menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa menyembunyikan kematian yang berkait dengan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali dan polis tidak dapat manfaat dengan menyembunyikan maklumat daripada orang awam.

“Tidak benar sorok kematian. Polis tidak pernah berbuat demikian dan tidak ada manfaat menyembunyikan perkara itu,” katanya dalam sidang media di pos kawalan tapak kejadian hari ini.

Hussein juga menggesa sesiapa yang percaya bahawa ahli keluarga mereka mungkin terkorban dalam kejadian itu supaya tampil membantu siasatan, memandangkan ketelusan kekal menjadi keutamaan.

“Saya harap netizen hentikan tuduhan ini. Jangan timbulkan rasa gusar yang tidak perlu kepada mangsa,” katanya.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini. Polis menyiasat dari pelbagai sudut, termasuk faktor mekanikal, keadaan persekitaran, operasi, keselamatan dan pemantauan.”

Kebakaran saluran paip gas milik Petronas yang berlaku pada jam 8.10 pagi, 1 April lalu itu, menyaksikan api menjulang melebihi 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Menurut Kementerian Kesihatan, seramai 38 daripada 146 mangsa masih menjalani rawatan, iaitu 18 di hospital kerajaan dan 20 lagi di fasiliti kesihatan swasta.

Tiada mangsa yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

Hussein berkata pihak berkuasa bekerja tanpa henti bagi menstabilkan kawasan terjejas supaya laporan teknikal awal dapat disediakan.

“Kami masih dalam proses menstabilkan tanah. Untuk mempercepatkan kerja-kerja ini, kami menambah bilangan jentolak semalam dan kini memulakan operasi selama 24 jam,” katanya.

“Pada awalnya saya kata ia akan ambil masa dua minggu. Tetapi kini, proses itu mungkin boleh disiapkan lebih awal.”

Hussein turut mendedahkan bahawa sehingga hari ini, sebanyak 675 laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut.

Polis juga merakam keterangan daripada 186 saksi, termasuk anggota keselamatan yang ditugaskan di lokasi kejadian.

Beliau berkata usaha untuk mengeluarkan sebuah jentolak yang tertimbus di lokasi kejadian masih diteruskan.

“Kami hanya menunggu keadaan tanah benar-benar stabil. Jika semuanya berjalan lancar, kerja penggalian besar-besaran boleh dimulakan esok. Mungkin dalam dua hingga tiga hari, jentolak itu dapat dibawa keluar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.