
Berita Harian melaporkan Lim Beng Kee, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulkifli Abllah.
Lelaki itu didakwa memerihalkan makanan sebagai halal tanpa kebenaran atau perakuan sah pihak berkuasa di restoran miliknya di Jalan Temenggong, Kota Bharu, pada 12.46 tengah hari 18 Nov 2024.
Dia melanggar Perintah 4(1)(a) dan (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum bawah Perintah 8 (B) dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammadi Iman Masjuri, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kerana kesalahan itu serius, tetapi tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana tidak cukup wang.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mei ini sebagai tarikh fakta kes serta hukuman.