Mahkamah, AGC digesa kerjasama selesai perbicaraan jenayah tertunggak

Mahkamah, AGC digesa kerjasama selesai perbicaraan jenayah tertunggak

Peguam berkata tidak adil membiarkan tertuduh meringkuk di penjara sementara menunggu kes mereka bermula.

Mahkamah KL
Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam, perbicaraan individu didakwa pada 2023 atau tahun lalu dijadualkan hanya bermula pada suku ketiga 2027.
PETALING JAYA:
Peguam menggesa pihak kehakiman dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bekerjasama menangani tunggakan kes jenayah semakin meningkat membabitkan kesalahan serius, khasnya di Kuala Lumpur dan Selangor.

Mereka berkata, tidak adil membiarkan individu dituduh berada dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan bermula.

Peguam turut mencadangkan lebih ramai hakim dilantik dan meminta pendakwa raya meneliti bukti sebelum merangka pertuduhan untuk memastikan mereka boleh mendapatkan sabitan.

Mereka berkata, langkah ini akan mendorong lebih ramai individu dituduh mengaku bersalah.

Peguam Salim Bashir berkata, setiap individu dituduh mempunyai hak tidak boleh dinafikan untuk mendapatkan perbicaraan pantas, khasnya dalam kes hukuman mati di mana ikat jamin ditolak.

“Pihak kehakiman mungkin telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan jumlah kes tertunda. Tetapi, masih wajar menambah jumlah mahkamah jenayah dan hakim sedia ada untuk mendengar kes di semua negeri,” kata bekas pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Jenayah Majlis Peguam.

Beliau berkata demikian kepada FMT selepas menerima aduan pengamal undang-undang jenayah berhubung kelewatan ketara dalam perbicaraan anak guam mereka, khasnya kes membabitkan tuduhan bunuh dan penyeludupan yang membawa hukuman mati atau penjara lama.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam, perbicaraan individu dituduh pada 2023 atau tahun lalu dijadualkan hanya bermula pada suku ketiga 2027.

FMT difahamkan dua mahkamah jenayah di Kuala Lumpur kini kosong susulan persaraan seorang hakim dan kenaikan pangkat seorang lagi hakim.

Di Shah Alam, tujuh hakim kini mendengar kes jenayah, tetapi ini tidak mencukupi disebabkan jumlah kes baharu didaftarkan.

Salim yang juga bekas presiden Badan Peguam, mencadangkan hakim kini bertugas di mahkamah sivil turut dilibatkan dalam mengetuai perbicaraan jenayah.

“Pihak kehakiman boleh menggunakan kepakaran dan pengalaman hakim yang dahulunya timbalan pendakwa raya serta pengamal undang-undang jenayah untuk menyelesaikan kes ini.”

Beliau turut mencadangkan jurutrengkas dilantik mengambil nota verbatim prosiding bagi mempercepatkan penyelesaian kes.

Peguam S Paul Krishnaraja berkata, pendakwa raya perlu mengemukakan pertuduhan lebih ringan yang membawa hukuman penjara lebih pendek, jika kertas siasatan menunjukkan bukti tidak mencukupi untuk menyokong kesalahan lebih serius.

Beliau memberi contoh tertuduh boleh didakwa atas kesalahan homisid yang tidak sama dengan membunuh, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun, berbanding pertuduhan membunuh membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan rotan.

“Peguam yang bijak mungkin menasihati anak guamnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan untuk mengambil peluang terhadap hukuman lebih ringan ditawarkan dan menjimatkan masa serta sumber mahkamah,” kata pengamal undang-undang jenayah hampir 30 tahun itu.

Menurutnya, langkah sedemikian juga dapat mengurangkan keperluan AGC menangani representasi memohon pengurangan pertuduhan, satu lagi punca menyumbang kepada kelewatan.

Krishnaraja berkata, selalunya diserahkan kepada mahkamah untuk mengurangkan pertuduhan di penghujung kes, selepas mendapati pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan semua elemen kesalahan atas tertuduh.

Peguam Baljit Singh Sidhu berkata individu dituduh mengedar dan memiliki dadah dalam kuantiti besar biasanya keldai atau penghantar.

“Pilihan lebih baik ialah menawarkan jaminan kepada mereka sementara menunggu keputusan kes.”

Tetapi, katanya, Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak memberikan budi bicara kepada mahkamah apabila kesalahan itu membawa hukuman mati atau penjara lebih lima tahun.

Beliau berkata, pendakwa raya perlu mencadangkan kerajaan memberikan hakim budi bicara untuk menawarkan jaminan kepada rakyat yang didakwa atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah.

Katanya, masalah kesesakan di penjara hanya dapat dikurangkan, jika ia hanya dihuni pesalah disabitkan bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.