

Jamain berkata, Ketua Pemuda Warisan Terence Au tidak langsung mengakui ketulenan surat itu yang mengandungi nota bidai daripada Shafie yang menulis ‘sukacita dapat diluluskan’ bagi permohonan kad pemastautin sementara (MyKAS) dan MyPR.
Beliau yang juga setiausaha politik Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mempersoalkan mengapa dan kapasiti Shafie mengeluarkan sokongan seperti itu yang didakwa bukan lagi satu formaliti tetapi isyarat politik.
“Ia membawa maksud permohonan itu wajar dipertimbangkan untuk kelulusan – bukan dengan berhati-hati, tetapi dengan penuh kesukaan.
“Ini menunjukkan satu bentuk ideologi pentadbiran yang terbuka dan mesra terhadap pemberian dokumen kewarganegaraan – meskipun jelas proses itu bukan di bawah kuasa mutlak ketua menteri,” katanya dalam kenyataan.
Ahad lalu, Au dalam laporan polisnya menggesa pihak berkuasa menyiasat penularan surat rasmi 26 April 2019 yang menunjukkan Shafie menyokong permohonan taraf kewarganegaraan dari Lahad Datu.
Satu lagi surat sokongan bertarikh 9 Okt 2019 meminta permohonan sambungan MyKAS oleh pemohon dari Semporna diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau mendakwa, hantaran itu menggambarkan Shafie yag juga presiden Warisan telah melakukan perbuatan itu semasa mengetuai pentadbiran Sabah dari 2020 hingga 2020.
Jamain turut menegaskan, pihaknya tidak mempertikaikan JPN tetapi mempertikai kuasa politik digunakan secara halus untuk memberi sokongan kepada proses menyentuh status kerakyatan – perkara sensitif dalam konteks Sabah.
Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan Sabah mengalami perubahan mendalam dari sudut budaya, sosial dan politik yang bukan secara semula jadi tetapi dakwanya menerusi gerakan secara perlahan tetapi sistematik.
Hakis identiti
Jelasnya, kemasukan warga asing yang diberi sokongan kewarganegaraan tanpa tapisan ketat mewujudkan perubahan demografi yang menghakis identiti asal negeri ini.
“Perubahan ini membawa beberapa kesan besar dari segi komposisi di mana kawasan dahulunya didiami majoriti Bumiputera Sabah – Kadazan, Dusun, Murut, Bajau dan lain-lain – kini semakin berubah wajah.
“Populasi yang tidak melalui proses asimilasi budaya atau penyesuaian identiti mula membentuk segmen baharu yang tidak berkongsi nilai sejarah negeri ini,” katanya.
Jamain berkata, keadaan itu juga menyebabkan politik tempatan hilang kuasa politik kepada warga asing diberi kewarganegaraan secara longgar yang menjadi pengundi berdaftar sekali gus mempengaruhi keputusan pilihan raya.
“Ini bukan satu dakwaan kosong – ini pernah berlaku. Dan jika dibiarkan, anak negeri Sabah bakal kehilangan suara di negeri sendiri, apabila kuasa politik tidak lagi mencerminkan kehendak penduduk asal, tetapi bergantung kepada pengundi import yang disokong oleh pihak berkepentingan.
“Apabila ada pemimpin politik menulis nota ‘sukacita dapat diluluskan’ terhadap permohonan sebegini, ia bukan sahaja menghantar isyarat kepada penjawat awam – ia menghantar isyarat kepada seluruh jentera politik bahawa kewarganegaraan boleh dijadikan modal sokongan,” tegasnya.
Beliau turut mengajak rakyat Sabah mempertahankan negeri itu daripada perubahan merosakkan akar sejarah dan identitinya.