Bekas polis kata penyiasat rakam kenyataannya dalam kes Pastor Koh

Bekas polis kata penyiasat rakam kenyataannya dalam kes Pastor Koh

Awaludin Jadid bagaimanapun beritahu Mahkamah Tinggi, beliau tak dipanggil pasukan petugas untuk jelas ceramahnya pada 2016.

Awaludin Jadid and Pastor Raymond Koh
Bekas pegawai Cawangan Khas Awaludin Jadid adalah antara defendan dalam saman oleh Susanna Liew berhubung kehilangan suaminya, Pastor Raymond Koh, pada 2017.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pegawai daripada pasukan petugas yang menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat merakam kenyataannya enam tahun lepas.

Awaludin Jadid, yang sebelum ini mengetuai bahagian ekstremisme sosial Cawangan Khas berkata, beliau bertemu pegawai penyiasat pasukan petugas itu di balai polis Ampang pada 23 Sept 2019.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan yang dirakam itu ‘tidak mencukupi’ dan menegaskan beliau sepatutnya diminta tampil di hadapan pasukan petugas.

“Mereka buat andaian dan kesimpulan tanpa minta saya jelaskan apa yang saya maksudkan dalam ceramah saya (pada 2016),” katanya.

“Mereka sepatutnya jalankan siasatan seperti cara Suhakam. Inilah sebabnya saya tidak setuju (dengan penemuan pasukan petugas itu).”

Awaludin memberikan keterangan dalam perbicaraan saman yang dikemukakan oleh isteri Koh, Susanna Liew, terhadap dirinya, polis dan kerajaan berhubung kehilangan pastor itu.

Liew mahu pihak berkuasa dipertanggungjawabkan atas penculikan suaminya yang menyalahi undang-undang, dan atas salah laku pegawai awam.

Sebelum ini, pengerusi pasukan petugas Abd Rahim Uda dalam keterangannya berkata, kuasa pasukan petugas itu terhad dan ia terpaksa bergantung kepada pegawai penyiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengumpul maklumat.

Laporan pasukan petugas itu, yang dikategorikan sebagai rahsia, membuat kesimpulan bahawa pegawai polis seleweng terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kehilangan Koh dan Amri.

Laporan itu dikemukakan sebagai keterangan dalam perbicaraan.

Pasukan petugas itu juga mendapati Awaludin adalah salah seorang ‘individu berkepentingan’ dalam kehilangan kedua-dua lelaki itu.

Awaludin menegaskan aduannya bahawa nota prosiding yang diambil semasa siasatan Suhakam adalah ‘tidak adil’.

“Tiada seorangpun daripada AGC (Jabatan Peguam Negara) memberikan nasihat kepada kami,” katanya.

“Kami ditanya banyak soalan (oleh peguam keluarga Koh dan Amri). Ada antara penjelasan kami tidak direkodkan.”

Awaludin juga memberitahu Hakim Su Tiang Joo, beliau dan anggota bahagian ekstremisme sosial telah diundang oleh gereja dan NGO bukan Islam untuk memberikan ceramah tentang isu keselamatan negara, lazimnya menjelang pilihan raya.

“Polis ada ‘hubungan’ dengan semua badan agama (dalam usaha membendung ekstremisme),” kata Awaludin.

Koh hilang pada 13 Feb 2017 selepas dikatakan diculik di Petaling Jaya, Selangor.

Perbicaraan bersambung pada 28 dan 29 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.